fbpx

Letupan paip gas: 128 murid, 5 guru terima bantuan RM1,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina ketika sidang akhbar selepas penyerahan bantuan kewangan kepada pelajar terjejas letupan paip gas di Putra Height hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

SUBANG JAYA – Seramai 128 murid dan lima guru yang terkesan akibat insiden letupan paip gas di Putra Heights di sini baru-baru ini, menerima bantuan khas berjumlah RM1,000 seorang daripada Yayasan Didik Negara dan Yayasan Guru Tun Hussien Onn (YGTHO).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada komitmen Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menjaga kebajikan semua warganya yang terjejas dalam tragedi tersebut.

“KPM mengambil langkah yang sangat pantas dan komprehensif untuk memastikan isu kebajikan mangsa-mangsa ini diberi perhatian sewajarnya.

“Kita bukan sahaja memberikan sumbangan kewangan, tetapi turut menyalurkan sokongan akademik, psikososial dan keperluan asas persekolahan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan berkenaan di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 23, di sini hari ini.

Menurut beliau, pasukan sokongan akademik dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah digerakkan sejak awal untuk membantu pelajar yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara, termasuk menyediakan bantuan pembelajaran dan sokongan emosi.

“Walaupun mereka terkesan, kita pastikan pendidikan tetap berjalan. Mereka juga telah menerima pakaian seragam sekolah, buku teks dan keperluan persekolahan lain.

“Alhamdulillah, hampir semua murid telah kembali ke sekolah,” jelasnya.

Katanya, selain lawatan oleh Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Pendidikan kepada mangsa yang dirawat, pihak kementerian juga terus memantau situasi pasca bencana ini termasuk memberi kaunseling kepada pelajar dan guru yang terkesan.

“Kita sedar ada yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda sepenuhnya. Oleh itu, bantuan ini diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka,” katanya.

Beliau berkata, KPM akan terus menilai sebarang keperluan tambahan dari semasa ke semasa termasuk sokongan jangka panjang jika diperlukan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI