KUALA LUMPUR – Status laporan mental seorang lelaki yang membunuh ibu dan bapanya dalam kejadian tragis di sebuah rumah di Sungai Penchala di sini dua tahun lalu diketahui 23 April ini.
Hakim Mahkamah Tinggi K.Muniandy menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan laporan mental tertuduh Afendi Muhammad Agus@Muhamed Ali, 44, telah siap.
Semasa prosiding Timbalan Pendakwa Raya Zaileen Nadia Zubir berkata, pihak pendakwaan akan mengarahkan pegawai penyiasat untuk mengambil laporan itu di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Perak.
“Pihak pendakwaan akan mengarahkan IO (pegawai penyiasat) untuk mengambil laporan tersebut,” kata Zaileen.
Pada prosiding hari ini, peguam Mohd. Ruzaini Zulkifli mewakili Afendi.
Terdahulu pada November tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan supaya Afendi menjalani pemeriksaan mental.
Hakim Muniandy menetapkan perkara itu terhadap Afendi bagi memastikan pengakuan bersalah yang dibuat tertuduh pada 6 September tahun lalu itu adalah dalam keadaan waras serta sukarela.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa membunuh bapanya Muhammad Agus@Muhamed Ali Omar, 82, dan ibunya Darlisma Njatu Saleh, 72.
Kesalahan itu didakwa di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Jalan Penchala Hilir 6 di sini masing-masing pukul 7.10 malam dan 7.20 malam pada 9 Disember 2023.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Sebelum ini pada 9 Disember 2023 Kosmo! melaporkan jeritan minta tolong seorang wanita yang didengari jirannya merungkaikan penemuan pasangan warga emas mati dibunuh di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, di sini.
Menurut jiran, jeritan itu dipercayai daripada wanita yang dibunuh anak lelakinya berusia 40-an kira-kira pukul 7 malam.
Pasangan yang dibunuh itu merupakan keluarga yang dikenali ramai penduduk di sini sekali gus menimbulkan suasana suram dalam kalangan penduduk.
Sejurus selepas kejadian, suspek yang melarikan diri kemudian berjaya diberkas polis dan ditahan ketika bersembunyi di terowong Penchala di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (Sprint), di sini. – KOSMO! ONLINE