fbpx

Bank Rakyat umum dividen 17 peratus bagi tahun kewangan 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ewon (tiga dari kiri) mengumumkan dividen Bank Rakyat sambil diperhatikan Mohd Irwan (tiga dari kanan) ketika majlis Pengumuman Prestasi Kewangan dan Dividen Kumpulan Bank Rakyat Bagi Tahun Kewangan 2024 di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini. - Ftoto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat hari ini mengumumkan pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2024 sebanyak 17 peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM486.32 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, pembayaran dividen kepada anggota akan dilakukan mulai hari ini yang akan memanfaatkan seramai 773,859 anggota.

Katanya, Bank Rakyat berjaya mengekalkan prestasi kadar dividen berjumlah dua digit untuk tempoh melebihi 20 tahun.

Dalam masa sama beliau berkata, Bank Rakyat turut menyumbang sebanyak dua peratus daripada keuntungan sebelum cukai bagi meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan untuk ekosistem koperasi.

“Zakat berjumlah RM36.43 juta pula disumbang kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan satu peratus, bersamaan RM18.22 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.

“Ia menjadikan jumlah sumbangan bagi tahun 2024 adalah sebanyak RM54.65 juta berbanding RM53.21 juta pada tahun sebelumnya,” katanya.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd. Irwan Mohd. Mubarak, berkata, Kumpulan Bank Rakyat merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 sebanyak RM1.82 bilion berbanding RM1.76 bilion pada tahun sebelumnya dengan peningkatan sebanyak 3.15 peratus atau RM55.43 juta.

Katanya, pendapatan utama Kumpulan pula meningkat sebanyak 0.36 peratus kepada RM6.69 bilion, didorong pertumbuhan kukuh baki pembiayaan kasar sebanyak 2.94 peratus.

Jelasnya, ia selari dengan pelan aspirasi strategik lima tahun (BR25), Kumpulan terus mendapat manfaat menerusi kepelbagaian portfolio terutamanya Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i dan Pajak Gadai-i.

“Tambahan, strategi deposit Kumpulan dan usaha yang bersasarkan deposit kos rendah telah menyumbang kepada peningkatan Akaun Semasa-i, Akaun Simpanan-i dan Akaun Pelaburan-i (CASAIA) sebanyak 5.50 peratus kepada RM10.75 bilion.

“Kumpulan turut mengamalkan budaya pengurusan risiko berhemat dan proses penilaian kredit ketat membawa kepada pengurangan peruntukan bagi kerugian terjejas serta penambahbaikan nisbah pembiayaan terjejas kasar daripada 2.02 peratus kepada 1.93 peratus.

“Kumpulan terus kompetitif dan menguntungkan bagi tahun semasa dan kekal sebagai salah sebuah institusi kewangan Islam sepenuhnya terbesar di Malaysia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI