fbpx

Anwar berbincang dengan PM Jepun mengenai tarif timbal balik AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika menerima panggilan telefon daripada Shigeru Ishina petang tadi. Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

PETALING JAYA – Malaysia telah mengadakan perbincangan bersama pimpinan negara ASEAN mengenai tarif timbal balik Amerika Syarikat dan kesannya kepada ekonomi dunia.

Perkara itu dibincangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima panggilan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, petang ini usai Istiadat Sambutan Negara.

Katanya, selain itu Malaysia turut menyatakan kesepakatan dan kebersamaan untuk meneruskan rundingan dengan Amerika Syarikat mengenai hal tersebut.

“Kami berdua menyentuh beberapa perkara penting khususnya terkait tarif timbal balik Amerika Syarikat dan kesannya kepada ekonomi dunia,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Sementara itu, Anwar berkata Malaysia juga menyatakan penghargaan atas hasrat dan minat Jepun untuk bersama dalam membangunkan rangkaian ASEAN Power Grid.

“Menerusi panggilan telefon itu juga kami sempat berbincang mengenai perkembangan kerjasama dua hala Malaysia-Jepun antaranya mengenai pembangunan sektor tenaga baharu, hidrogen membabitkan Petronas dan Kerajaan Negeri Sarawak.

“Kami juga membincangkan soal bencana gempa bumi di Myanmar yang mana Malaysia sampaikan ucapan takziah kepada PM Ishiba atas kehilangan nyawa rakyat Jepun dalam tragedi tempoh hari,” katanya.

Tambah Anwar, Malaysia menghargai usaha Jepun yang turut sama menyalurkan sumbangan bagi membantu pembangunan semula negara berkenaan.

Beliau berkata, hubungan Malaysia-Jepun akan terus terjalin kukuh berteraskan hormat, kepercayaan serta komitmen jangka panjang kedua-dua negara dalam pelbagai bidang strategik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI