KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara hari ini.
Difahamkan, Najib akan tiba selepas selesai prosiding perbicaraan kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berlangsung di Mahkamah Tinggi.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke Dewan Solat Utama, Masjid Negara untuk penghormatan terakhir bermula pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari.
Seterusnya, jenazah Perdana Menteri ke-5 itu akan disembahyangkan selepas solat zuhur sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan.
Terdahulu, Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira pukul 7.10 malam semalam akibat masalah pernafasan. – KOSMO! ONLINE