SEREMBAN – Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan kerjasama strategik dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Program Eksekutif Pembimbing Ibadat Haji (EPIH) buat kali kedua.
Seramai 116 peserta terdiri daripada Pengkursus Ibadah Haji Tanah Air , guru agama syarikat Pengelola Jemaah Haji, pegawai TH, pegawai Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji , kakitangan USIM dan individu perseorangan telah berjaya menamatkan program ini.
Imam Masjid Al Bukhary Kuala Lumpur, Muhammad Rifaiuddin Isa, 35, dinobat menjadi peserta terbaik EPIH 2025 selepas berjaya mencatatkan markah keseluruhan iaitu 91 peratus.
“Saya berbesar hati dapat mengikuti program ini kerana banyak input dan ilmu bermanfaat yang sangat diperlukan bagi seorang pembimbing haji dan umrah.
“Cabaran membahagikan masa untuk menjalankan tugas hakiki sebagai seorang imam dan peserta program memberi saya kepuasan dan kesyukuran apabila berjaya memperoleh sijil tauliah,” katanya di sini.
Ketua Jabatan Haji TH, Mohd. Hisham Harun berkata, program EPIH 2025 yang dilaksanakan menerusi latihan dan pendidikan itu menekankan kepada kefahaman mendalam, pengukuhan ilmu serta pembentukan kompetensi kepimpinan ibadah haji. – KOSMO! ONLINE