PETALING JAYA – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), mencadangkan penalti terhadap 22 perusahaan kerana terbabit dengan perjanjian penetapan harga bagi penyediaan perkhidmatan pusat penjagaan kanak-kanak di Kuala Lumpur dan Selangor.
Pengerusinya, Tan Sri Idrus Harun, berkata, semua perusahaan tersebut, pada peringkat keputusan cadangan ini, juga didakwa telah melanggar seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).
Katanya, berdasarkan siasatan MyCC, bukan saja terdapat cadangan untuk menaikkan yuran perkhidmatan penjagaan kanak-kanak telah dibincangkan, malah ia sudah dipersetujui oleh semua perusahaan itu dalam satu mesyuarat persatuan.
“Keputusan itu kemudiannya dimaklumkan kepada semua ahli persatuan dan pemilik pusat penjagaan kanak-kanak melalui pengedaran satu pekeliling.
“MyCC mendapati bahawa tindakan itu bertujuan untuk menghalang dan menyekat persaingan dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, perlu ditekankan bahawa keputusan cadangan yang dikeluarkan oleh MyCC adalah masih pada peringkat dapatan awal.
Maka jelasnya, tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan yang dinyatakan dalam keputusan cadangan itu secara konklusifnya sudah melanggar Akta 712 pada peringkat ini.
“Seperti yang diperuntukkan dalam Akta 712, semua perusahaan yang dinamakan dalam keputusan cadangan sudah dimaklumkan mengenai penalti dan arahan yang dicadangkan MyCC.
“Perusahaan-perusahaan ini diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis kepada MyCC dalam tempoh 30 hari selepas menerima keputusan cadangan,” ujarnya.
Selepas itu katanya, perusahaan-perusahaan sama juga diberi peluang untuk membentangkan representasi lisan masing-masing kepada Suruhanjaya pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.
“MyCC hanya akan mengeluarkan Keputusan Akhir selepas mempertimbangkan representasi oleh perusahaan-perusahaan ini bersama bukti yang diperolehi semasa proses penyiasatan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE