fbpx
Anggota forensik sedang menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian.

Lelaki culik remaja perempuan mati ditembak polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Seorang lelaki yang terlibat dalam kes penculikan remaja perempuan maut dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Bayu Tinggi, Bandar Bukit Tinggi di sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 pagi dengan suspek berusia 21 tahun mati di lokasi kejadian.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan mendapati suspek antara individu yang terlibat dalam kes culik remaja berusia 16 tahun di Avenue, Seremban kira-kira pukul 5.45 petang, 10 April lalu.

Katanya, kumpulan penculik itu meminta tebusan sebanyak RM2 juta daripada keluarga mangsa.

“Mangsa kemudian dibebaskan di Nusari Bayu, Sendayan, Negeri Sembilan kira-kira pukul 8.30 malam sehari kemudian.

“(Kumpulan suspek) menerima bayaran tebusan sebanyak RM280,000 dan sejumlah barangan kemas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Menurut Fadil, semasa kejadian, polis cuba menahan kereta jenis Proton Wira dipandu suspek, namun lelaki itu bertindak agresif termasuk melawan arus.

Katanya, suspek juga melanggar kenderaan polis semasa dikejar sebelum berjaya dipintas dan berlaku kejadian berbalas tembakan.

“Suspek tidak mempunyai rekod lampau. Semakan mendapati kereta yang dinaiki suspek digunakan ketika melepaskan mangsa sebelum ini.

“Kita turut merampas sepucuk pistol semiauto Colt dan parang dalam kenderaan sama,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya turut menangkap enam suspek lain termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 31 tahun di sekitar Sendayan.

“Sejumlah RM230,000 wang tebusan berjaya diperoleh dengan lain-lain rampasan masih dalam semakan pihak polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI