IPOH – Polis berjaya melumpuhkan kegiatan sindiket along yang melakukan perbuatan khianat dengan api selepas menahan dua lelaki termasuk seorang warga Taiwan, kelmarin.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, tangkapan terhadap suspek berusia 37 dan 26 tahun itu dijalankan di sebuah hospital swasta dekat Ipoh dan kawasan perumahan di Chemor sekitar pukul 12 tengah hari.
Katanya, kedua-dua lelaki terbabit dipercayai terlibat dalam kejadian melontar bom petrol atau ‘molotov cocktail’ yang menyebabkan kebakaran sebuah rumah di Kampung Rapat pada 4 April lalu.
“Berdasarkan siasatan, kedua-dua suspek itu mengenali satu sama lain melalui laman sosial sejak Ogos tahun lalu dan mula terlibat dalam kegiatan khianat dengan api pada bulan lalu.
“Siasatan mendapati, kegiatan jenayah ini diperoleh daripada seorang ejen dari negara jiran melalui Facebook dan mereka akan dibayar sebanyak 300 dolar Singapura (RM1,008) bagi seorang mangsa,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, semakan terhadap telefon bimbit kedua-dua suspek mendapati terdapat beberapa alamat rumah lain yang tidak mempunyai laporan polis.
Katanya, tangkapan terhadap kedua-dua suspek itu berjaya menyelesaikan sebanyak lapan kes khianat dengan api di negeri ini.
“Semasa tangkapan dijalankan, kita merampas beberapa barang termasuk dua helai nota ugutan, satu tong berisi minyak petrol, satu botol air mineral berisi petrol, buku nota, tiga buah telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Proton Iswara.
“Kedua-dua suspek ditahan reman tiga hari sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan khianat dengan api,” katanya. – KOSMO! ONLINE