PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tampil menghulurkan bantuan kemudahan digital kepada mangsa letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya baru-baru ini.
MCMC dalam kenyataannya berkata, bantuan berkenaan disalurkan dalam usaha meringankan beban dan memastikan kelangsungan pembelajaran serta komunikasi dalam kalangan penduduk terjejas.
Katanya, seramai 37 pelajar institusi pengajian tinggi yang kehilangan harta benda menerima komputer riba bagi memudahkan urusan pembelajaran dan pengajian secara dalam talian.
“Pemberian kemudahan ini akan disampaikan secara berperingkat dalam tempoh terdekat,” katanya, hari ini.
Selain itu, MCMC turut mengagihkan peranti telefon bimbit kepada ketua isi rumah yang terjejas selain komputer riba kepada sekolah-sekolah yang terjejas dalam bencana dahsyat tersebut.
“Secara keseluruhannya, MCMC akan mengagih 302 buah komputer riba (37 buah kepada mahasiswa dan 265 buah kepada sekolah) serta 620 buah telefon bimbit kepada isi rumah yang terkesan,” ujarnya.
MCMC berharap inisiatif tersebut dapat mengurangkan beban mangsa khususnya bagi urusan pembelajaran, perkhidmatan dalam talian serta hubungan komunikasi penting terutama dalam situasi mencabar ini. – KOSMO! ONLINE