KAJANG – Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di kediamannya di Flat Bukit Segar, Cheras, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan Nur Qistina Atirah Abdul Halim kira-kira pukul 10.18 pagi, hari ini.
“Mangsa yang berusia 16 tahun berkulit putih, berketinggian 1.56 meter dan mempunyai berat sekitar 55 kilogram.
“Remaja berkenaan dipercayai memakai baju lengan panjang serta seluar jeans berwarna biru terang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nor Farahin Mohd. Yatim di talian 0173987188. – KOSMO! ONLINE