SUBANG JAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) memaklumkan seramai 25 orang pegawai penyiasat kebakaran sedang menjalankan penilaian akhir di kawasan terjejas akibat kebakaran paip gas di Taman Putra Harmoni, Putra Heights, di sini.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, kesemua pegawai itu dibawa dari lima negeri dan mereka adalah adalah pakar dan terlatih dalam bidang siasatan kebakaran.
“Mereka ini dbawa dari negeri Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor digerakkan ke lokasi bagi membantu operasi penilaian dan siasatan.
“Semua yang terbabit terdiri daripada anggota Unit Penyiasatan Kebakaran yang berkemahiran. Kita juga pecahkan kepada dua pasukan utama iaitu satu fokus kepada anggaran kerugian dan satu lagi kepada aspek teknikal,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, JBPM juga berada di fasa akhir proses penilaian keselamatan, dengan kompilasi maklumat dijangka siap dan diserahkan kepadanya sekitar jam 4 petang.
“Setakat ini, laporan akhir masih dalam proses kompilasi. Kami akan bentangkan hasil penilaian kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Sebarang pengumuman rasmi mengenai penilaian akhir hanya akan dibuat selepas laporan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri,” katanya-KOSMO! ONLINE