GUA MUSANG – Aliran trafik menuju ke pusat bandar Gua Musang di sini hari ini sibuk di beberapa lokasi berikutan perantau mula bergerak pulang ke ibu kota selepas menyambut Aidilfitri di kampung halaman.
Tinjauan Kosmo! di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dan Gua Musang-Kuala Lipis di sini mendapati jumlah kenderaan semakin bertambah di kedua-dua laluan itu dan trafik juga sibuk di kawasan Bandar Utama, lampu isyarat di bandar Gua Musang serta kawasan pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU)
Seorang pengguna jalan raya, Siti Fatimah Abdullah, 36, dari Machang berkata, mereka sekeluarga terperangkap dalam kesesakan semasa tiba di Kuala Krai apabila kenderaan semakin bertambah menuju ke Kuala Lumpur.
“Saya bertolak dari Machang pada pukul 8 pagi dan tiba di bandar Gua Musang kira-kira pukul 1 tengah hari sebelum berehat di Hentian Gua Musang di sini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, berlaku pertambahan kenderaan melalui jalan Kuala Krai-Gua Musang dan Gua Musang-Lipis hari ini dan jumlahnya dijangka semakin bertambah esok. – KOSMO! ONLINE