PETALING JAYA- Keperibadian isteri kepada adinda Sultan Kelantan, Che Puan Sofie Louise Johansson Petra, yang cantik dan mesra telah mencuri perhatian ramai apabila beliau hadir ke sebuah kelas solekan baru-baru ini.
Menerusi satu video di TikTok milik @Makeupbynadianordin2, Che Puan Sofie kelihatan bersama beberapa peserta lain sedang belajar teknik solekan di bawah bimbingan jurusolek terkenal, Nadia Nordin.
Dalam hantaran tersebut, Nadia turut mengungkapkan rasa terkejut kerana tidak menyangka Che Puan Sofie akan hadir ke kelas anjurannya.
“Hari ini menjadi sejarah terindah dalam perjalanan seni Nadia. Nadia buat ‘grouping Raya Makeup Class’ yang terbuka kepada orang ramai dan tak terfikir salah seorang peserta adalah YBhg Che Puan Sofie,” tulis pemilik akaun tersebut.
Kehadiran Che Puan Sofie di kelas itu mendapat pelbagai komen positif daripada netizen yang memuji peribadinya yang mesra dan tidak sombong.
“Tuanku Che Puan Sofie baik kan… Suka sangat kat Che Puan.. ‘Humble’ (merendah diri) sangat-sangat. Mesra sangat-sangat dengan rakyat jelata,” komen salah seorang pengguna.
“Dia tak mekap pun cantik,” balas seorang lagi netizen.
“Dia adalah ahli keluarga diraja yang paling rendah diri yang pernah saya lihat,” kata pengguna yang lain.
Setakat ini, hantaran tersebut telah menerima 5,466 tanda suka, 58 komen dan 156 perkongsian.
Che Puan Sofie melangsungkan perkahwinan dengan Dr. Tengku Muhammad Faiz Petra pada 19 April 2019 dan dikurniakan seorang putera dinamakan Tengku Muhammad Johan Petra yang hampir berusia dua tahun. -KOSMO! ONLINE