fbpx
DALAM kehangatan pertikaman lidah di media sosial, terdapat usaha daripada rakyat Malaysia pelbagai kaum cuba meredakan suhu kepanasan dengan konten bersifat keharmonian. - GAMBAR HIASAN

Saling toleransi, kita pasti harmoni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARU-BARU ini satu ‘insiden’ kurang disenangi telah berlaku sehingga mencetuskan pergaduhan mulut apabila ada segelintir pengguna media sosial menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

Bermula dengan isu ‘ham’, diikuti dakwaan atau salah faham melibatkan tiga penyampai radio terkenal, seterusnya individu-individu bercakap ikut sedap mulut di media sosial membangkitkan hal-hal sensitif.

Ada yang telah dikenakan tindakan atas kesalahan itu, manakala ada isu masih disiasat. Jadi serahkan kepercayaan itu kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas.

Dalam kehangatan pertikaman lidah di media sosial, penulis tertarik apabila ada usaha daripada rakyat Malaysia pelbagai kaum cuba meredakan suhu kepanasan dengan konten bersifat keharmonian.

Pelbagai video dan gambar dikongsikan menunjukkan keamanan dikecapi rakyat berbilang kaum, mengajak orang ramai mengekalkan keharmonian dan ‘jalan terus’ tidak perlu melayan mereka yang mengganggu-gugat silaturahim.

Usaha berkenaan wajar dipuji, bahkan ia membuktikan ramai rakyat Malaysia mencintai keamanan, keharmonian dan kesejahteraan hidup di negara ini.

Cacian, hinaan dan makian di media sosial adalah sikap individu, sekali gus tidak menggambarkan keseluruhan masyarakat Malaysia.

Bagaimanapun, keamanan dikecapi selama ini juga tidak boleh dipandang enteng. Pelbagai usaha dan kempen perlu diperkukuhkan dalam memastikan kesejahteraan rakyat dapat dikekalkan.

Ini kerana cubaan menangguk di air keruh menerusi tindakan provokatif oleh pihak tidak bertanggungjawab dibimbangi merosakkan keharmonian negara.

Seperti dinyatakan oleh Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil bahawa, sebagai masyarakat majmuk, sikap saling menghormati dan memahami kepelbagaian merupakan kekuatan yang menyatukan, bukan memecahbelahkan.

Menurutnya, kebebasan berinteraksi, berkongsi maklumat dan menyuarakan pendapat perlu disertai dengan tanggungjawab dan kepekaan yang tinggi, terutama dalam hal melibatkan sensitiviti agama dan kepercayaan.

“Mempersendakan atau menghina agama lain adalah perbuatan dilarang di sisi Islam, tidak beretika dan boleh menjejaskan keharmonian sosial.

“Setiap agama mempunyai nilai dan prinsip yang dihormati oleh penganutnya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menasihatkan setiap individu di negara ini untuk menghormati kepelbagaian agama, mengelakkan kandungan provokatif serta peka dan bertanggungjawab dalam perkongsian di media sosial.

“Amalkan nilai tolerasi dan ini bukan sekadar sikap bertolak ansur, tetapi juga menghargai dan memahami perbezaan.

“Jadilah masyarakat yang peka dan prihatin terhadap sensitiviti agama dan budaya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN