SAN SEBASTIAN – Manchester United kekal mempunyai kelebihan menjelang aksi timbal balik di Old Trafford minggu depan meskipun seri 1-1 dengan Real Sociedad dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Europa di Reale Arena awal pagi semalam.
Joshua Zirkzee meledak jaringan pertamanya di pentas Eropah musim ini, menerusi percubaan luar kotak penalti selepas menerima hantaran cantik Alejandro Garnacho pada minit ke-57 dan menjadi petanda positif bagi dirinya yang masih bergelut menyesuaikan diri bersama kelab itu.
Kelebihan United tidak bertahan lama apabila Mikel Oyarzabal menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti yang diberikan selepas Bruno Fernandes dihukum kerana bola terkena tangan semasa situasi sepakan penjuru.
Zirkzee kelihatan kecewa, lebih-lebih lagi selepas kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti ketika United tewas kepada Fulham pada pusingan kelima Piala FA minggu lalu.
Pengurus United, Ruben Amorim juga gagal memastikan pasukanya mengekalkan momentum selepas sepakan penalti itu selain turut menyaksikan anak-anak buahnya jelas keletihan dalam 30 minit terakhir.
“Saya rasa sebelum penalti, kami berjaya mengawal permainan. Penalti itu sedikit mengubah momentum. Saya lihat pasukan kami benar-benar keletihan dalam 30 minit terakhir.
“Namun, kami akan membawa perlawanan ini ke Old Trafford. Ia akan menjadi perlawanan yang berbeza. Tekanan lebih kepada kami di stadium itu tetapi kami akan bersedia,” kata Amorim.
The Red Devils kini bersiap untuk menghadapi aksi timbal balik di Old Trafford minggu depan dan keputusan perlawanan kedua itu nanti akan menjadi penentu untuk kelangsungan impian United dalam saingan Liga Europa musim ini. – AGENSI