KISAH-KISAH mistik mungkin menjadi bahan jenaka bagi sesetengah orang kerana mereka beranggapan ia tidak lebih daripada sekadar cerita rekaan.
Namun, bagi mereka yang pernah mengalami situasi menakutkan itu, kisah yang diceritakan mungkin akan mengimbas kembali pengalaman seram sebelum ini.
Bagi Aishah (bukan nama sebenar), dia sendiri pernah berhadapan detik menyeramkan itu ketika menyertai aktiviti perkhemahan anjuran pihak sekolah suatu ketika dahulu.
Dia yang kini berusia 40 tahun dan menetap di Kajang, Selangor berkata, kejadian seram itu berlaku kira-kira 25 tahun lalu.
Dia yang ketika itu berada di tingkatan tiga telah terpilih menjadi pengawas sekolah dan dikehendaki menyertai satu kem kepimpinan.
“Berdasarkan jadual program, kem kepimpinan tersebut dijadualkan berlangsung selama tiga hari dua malam di sebuah tapak perkhemahan berhampiran sungai di hutan lipur dalam sebuah daerah di Pahang.
“Sebaik tiba di lokasi tapak perkhemahan, semua peserta telah diarahkan untuk membersihkan kawasan, selain perlu memasang khemah mengikut kumpulan masing-masing,” katanya.
Selepas selesai memasang khemah, mereka telah menjalankan aktiviti suai kenal, selain sukaneka sebelum dibenarkan untuk mandi-manda di sungai.
Pada waktu maghrib, semua peserta menunaikan solat secara berjemaah selain membaca surah Yasin sebelum menikmati makan malam selepas selesai solat isyak.
Menurut Aishah, selepas selesai menjamu selera, semua peserta dijadualkan menyertai aktiviti ‘burung hantu’ bagi menguji tahap keberanian pelajar.
Setiap peserta akan ditinggalkan secara bersendirian di kawasan gelap.
Namun katanya, sebaik sahaja peserta bersiap sedia untuk berkumpul, tiba-tiba seorang pelajar wanita mula menjerit dan meronta-ronta kerana diserang histeria.
Lebih memburukkan keadaan, selang beberapa minit selepas itu, seorang lagi pelajar wanita turut diserang histeria sekali gus menyebabkan keadaan menjadi agak kelam-kabut.
“Seorang guru yang kami kenali sebagai ustaz cuba menenangkan kedua-dua pelajar berkenaan dengan membacakan beberapa potong ayat suci al-Quran.
“Selepas keadaan kedua-dua pelajar berkenaan semakin tenang, mereka dibawa menaiki kereta oleh dua orang guru.
“Difahamkan, mereka dibawa bertemu seorang imam masjid di kawasan perkampungan berhampiran bagi memulihkan semangat.
“Pada masa sama, semua peserta telah diarahkan untuk berada di dalam khemah masing-masing kerana aktiviti malam dibatalkan,” katanya.
Jelas Aisyah, dalam keadaan takut dan cemas, dia dan tiga lagi rakan di dalam khemahnya tertidur dan terjaga kira-kira pukul 2 pagi kerana berasa sangat sejuk.
Ketika keluar dari khemah untuk mengambil baju sejuk, dia terlihat seakan-akan bayangan seorang wanita berambut panjang sedang mencangkung di kawasan plastik sampah yang menempatkan sisa makanan.
Dari kejauhan, dia dapat melihat dengan jelas lembaga tersebut menjilat tulang-tulang ayam yang sudah berselerakan dan kelihatan lidahnya sangat panjang.
“Dalam ketakutan, lembaga wanita itu memalingkan mukanya ke arah saya. Ketika itulah saya dapat melihat mukanya yang sangat hodoh dengan bola mata kemerahan.
“Melihat keadaan itu, saya menjerit dan terus pengsan. Saya hanya sedar kembali kira-kira 15 minit kemudian selepas ustaz menyapu air bacaan Yasin ke muka saya.
“Saya menceritakan apa yang berlaku kepada ustaz dan guru-guru pengiring.
“Saya diberitahu oleh ustaz bahawa dua lagi rakan saya yang diserang histeria juga melihat lembaga sama,” katanya.
Sebaik kejadian itu, semua murid dan guru terus berjaga sehingga subuh, sebelum pihak sekolah mengambil keputusan untuk membatalkan terus program berkenaan.
Disebabkan pengalaman mengerikan itu, sehingga kini Aisyah masih trauma untuk bermalam di kawasan hutan terutama jika berkhemah.
Ini kerana, sehingga hari ini dia masih terbayang-bayangkan kejadian menyeram tersebut.














