fbpx

Keperibadian, kejayaan Neelofa jadi inspirasi wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Selebriti dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd. Noor atau Neelofa diberi penghormatan apabila dipilih sebagai penerima anugerah bagi kategori Wanita Inspirasi sempena acara The Muslim World Women’s Summit: Voices HER Festival. 

Pengiktirafan berprestij diberikan sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam dunia keusahawanan, pemerkasaan wanita, serta peranannya sebagai ikon Muslimah yang memberi inspirasi kepada masyarakat.

Bekas pengacara program MeleTOP itu menerima anugerah tersebut atas kejayaan luar biasanya dalam bidang perniagaan fesyen patuh syariah, serta advokasi mengenai kepentingan keseimbangan antara kejayaan profesional dan nilai keislaman.

Beliau menyifatkan penghargaan tersebut satu simbol kekuatan, keazaman, dan peranan besar yang dimainkan oleh wanita dalam dunia hari ini.

“Anugerah ini bukan hanya untuk saya, tetapi untuk semua wanita di luar sana yang berusaha menggapai impian mereka tanpa mengorbankan prinsip dan nilai yang dipegang. Saya berharap kejayaan ini dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk berani mengejar cita-cita mereka.

Neelofa (tengah) dipilih sebagai penerima anugerah bagi kategori Wanita Inspirasi sempena acara The Muslim World Women’s Summit: Voices HER Festival sambil disaksikan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Kejayaan bukan hanya diukur dari segi pencapaian material, tetapi juga dari segi bagaimana kita memberi impak positif kepada masyarakat dan membawa perubahan yang lebih baik,” katanya.

Menurutnya, anugerah itu dedikasikan kepada semua wanita yang berani melangkah keluar dari zon selesa, berusaha tanpa mengenal lelah, dan terus berpegang teguh pada prinsip serta keimanan mereka. 

“Semoga kita semua dapat terus menjadi inspirasi kepada satu sama lain dan membantu membentuk dunia yang lebih baik.

“Terima kasih kepada pihak penganjur atas penghargaan ini dan kepada semua yang sentiasa menyokong perjalanan saya. Moga Allah SWT terus memberkati langkah kita semua,” katanya.

Neelofa sebelum ini sudah meraih pelbagai anugerah atas kejayaan dalam bidang keusahawanan dan pengaruhnya dalam dunia fesyen serta media sosial. 

Beliau juga aktif dalam kerja-kerja kebajikan serta sering berkongsi ilmu dan pengalaman bagi menggalakkan pemerkasaan wanita dalam perniagaan dan kehidupan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI