fbpx
SEJARAH baharu sistem pendidikan Johor tercatat apabila fasa Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) bermula semalam. - GAMBAR HIASAN

Sekolah Rintis Bangsa Johor jadi model pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANGGAL 17 Februari, semalam, bermulalah kalendar akademik sesi persekolahan 2025/2026 di seluruh negara.

Sejarah baharu sistem pendidikan Johor tercatat apabila pada hari sama fasa permulaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) bermula.

Menyingkap kembali tercetusnya idea untuk mewujudkan SRBJ ini, pada 13 Februari 2024, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan supaya kerajaan negeri mempertingkatkan pendidikan anak Bangsa Johor supaya tidak keciciran.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin sebelum ini memaklumkan, seramai lebih 4,300 pelajar dan 212 guru terbabit dalam fasa permulaan SBRJ yang memberi penekanan penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Bahasa Inggeris.

Menerusi Belanjawan Johor 2025, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.22 juta untuk menaik taraf sekolah-sekolah yang berpotensi dilaksanakan SRBJ.

Mengulas berkaitan projek rintis ini, Dekan Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Noraffandy Yahaya berpendapat kewujudan SRBJ merupakan sebuah sekolah yang berciri dan mempunyai identiti Johor.

“Seperti sedia maklum, SRBJ memberi penekanan kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Bahasa Inggeris.

“Walaupun ia bukan kategori sekolah yang sepenuhnya berasingan seperti sekolah swasta atau agama ia boleh dianggap sebagai satu inisiatif khas dalam sekolah yang sedia ada yang dikendalikan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Noraffandy berkata, SRBJ masih dalam rangka sistem pendidikan kebangsaan tetapi dengan penambahan elemen yang lebih menekankan kepada STEM dan Bahasa Inggeris selagi ia tidak mengubah asas kurikulum ditetapkan KPM dan ia tidak bercanggah.

Namun begitu, kerjasama dan koordinasi antara kerajaan negeri dan persekutuan penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan SRBJ.

“Pada pandangan kami sebagai ahli akademik, tujuan kerajaan negeri mewujudkan SRBJ adalah untuk meningkatkan kualiti pendidikan murid di negeri Johor dengan memberi penekanan kepada STEM dan Bahasa Inggeris.

“Inisiatif ini bagi memastikan mereka lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi global dan ia juga relevan dengan titah Pemangku Sultan Johor yang menekankan kepentingan pendidikan sebagai salah satu agenda utama dalam pembangunan negeri Johor,” katanya.

Tambanya, berdasarkan konsep sekolah kebangsaan yang dipilih untuk program rintis ini, SRBJ dijangka akan melibatkan pelajar dari pelbagai latar belakang.

Sekiranya program ini dilaksanakan secara menyeluruh di sekolah negeri Johor ia akan memberi banyak manfaat kepada semua murid tanpa mengira kaum, agama dan pelbagai latar belakang.

Kesimpulannya, Noraffandy berkata, SRBJ merupakan satu inisiatif atau usaha yang sangat berpotensi untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negeri Johor terutama dalam bidang STEM dan Bahasa Inggeris. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN