GEORGE TOWN – Terdapat peniaga sanggup mengaut untung ‘atas angin’ setiap kali tibanya Ramadan dengan menyewakan lesen perniagaan mereka sehingga tiga kali ganda kepada pihak ketiga atau peniaga ‘bidan terjun’.
Difahamkan, peniaga tersebut berani mengenakan bayaran sehingga tiga kali ganda bagi setiap tapak bazar Ramadan daripada harga yang dikenakan pihak penganjur atau kerajaan tempatan.
Pengerusi Peniaga-Peniaga Pasar Malam Pulau Pinang, Mohamad Anuar Awang berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan masih berlaku ‘budaya’ tersebut tahun ini.
“Ini berikutan berlaku kenaikan kadar sewa tapak bazar Ramadan sehingga maksimum 40 peratus daripada pihak penganjur terutama di kawasan pulau negeri ini berbanding tahun lalu.
“Kenaikan kadar sewa itu didapati berlaku di lokasi tapak bazar yang menjadi tumpuan orang ramai sepanjang Ramadan. Contohnya, sebelum ini kadar sewa yang dikenakan kira-kira RM2,500 sebulan, namun dinaikkan sehingga RM3,000 tahun ini.
“Kita tahu, kenaikan itu untuk kos kebersihan, pengawalan dan keselamatan di tapak bazar Ramadan. Namun, disebabkan kenaikan kadar sewa ini juga, ada peniaga berlesen cuba mengaut keuntungan besar dengan menjadi orang tengah atau ejen kepada peniaga bidan terjun.
“Budaya kaut untung peniaga ini sudah lama berlaku. Peniaga yang berduit ini akan menyewa lebih dua hingga empat tapak di beberapa lokasi bazar dan akan menyewakan lesen serta tapak bazar mereka kepada beberapa peniaga,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Ujarnya, peniaga berlesen itu juga akan meletakkan harga lebih tinggi berbanding yang ditetapkan pihak penganjur.
“Contohnya, harga sewa satu tapak daripada penganjur RM3,000 sebulan dan peniaga akan sewa semula kepada orang tengah pada harga RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.
“Jadi saya tidak menolak kemungkinan akan berlaku kenaikan harga makanan dan minuman melibatkan peniaga setahun sekali ini,” ujarnya.
Justeru, beliau meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan drastik berhubung perkara terbabit termasuk mengekang kehadiran peniaga-peniaga bidan terjun.
















