fbpx
Saya bersama tangkapan kelisa yang terpahat selama-lamanya di dalam memori.

Kenangan legenda kelisa hijau nami yang takkan dilupakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Ikan yang saya maksudkan adalah kelisa hijau nami atau dalam bahasa Inggeris, nami green arowana. Ikan ini dianggap sebagai salah satu khazanah unik negeri Kedah, malah di Malaysia.

Momen ini menjadi kenangan paling berharga sepanjang saya berkecimpung dalam dunia meman­cing.

Segalanya bermula ketika saya bersama kawan-kawan merancang trip memancing toman selama tiga hari di Tasik Gubir. Hari pertama dan kedua berjalan dengan lancar, dan kami berjaya menaikkan beberapa ekor induk toman, lebih-lebih lagi ketika itu musim anak toman menimbul. Namun, hari ketiga membawa kejutan yang amat luar biasa.

Pada hari terakhir, kami membuat keputusan supaya setiap bot hanya dinaiki oleh seorang pemancing, berbeza dengan dua hari sebelumnya yang setiap bot dinaiki dua orang pemancing bersama tekong.

Saya menelefon sahabat saya, Muhammad Khairul Ikhwan untuk menjadi tekong saya. Sekitar pukul 8 pagi, kami sibuk mengangkat barang-barang ke bot kayu yang disediakan. Setelah semuanya siap, satu persatu bot bergerak ke lokasi masing-masing.

Namun, bot saya mengalami sedikit masalah pada enjin hingga menyebabkan kami terpaksa membaikinya terlebih dahulu. Pada pukul 9 pagi, barulah kami mula bergerak.

Agaknya kerana sedikit kelewatan itu, kami me­nemui beberapa kumpulan anak toman. Tetapi malangnya, induk-induk toman yang kami ‘pujuk’ tidak berjaya digoda.

Kumpulan anak toman keempat yang kami temui selepas itu bergerak ke tebing, sementara saya cuba memujuk induknya untuk mengambil gewang dilontarkan. Namun, tiada sebarang reaksi balas. Perlahan-lahan, anak toman itu menyusup masuk ke bawah pokok yang merimbun.

Kelibat bayang seakan induk toman mula terlihat samar-samar di permukaan air di bawah pokok tersebut. Lantas, saya tukar gewang daripada crankbait ke soft plastic Ozmy Silencer supaya lebih mudah untuk melakukan skipping’ke bawah pokok itu.

Balingan pertama tidak menghasilkan apa-apa, namun saya tidak berputus asa.

Balingan kedua dilakukan dengan lebih teliti. Soft plastic itu mendarat dengan baik. Saya memulakan kayuhan sambil menghenjut hujung joran sedikit demi sedikit dengan membuatkan aksi soft plastic mengeliut seperti anak ikan yang tidak sihat.

Tidak lama selepas beberapa kayuhan, kelibat bayang putih itu mula kelihatan mengejar dan akhirnya membaham soft plastic dengan rakus sekali. Aksi itu begitu jelas walaupun suasana di bawah pokok agak gelap. Saya merasakan tekanan pada tali utama, menandakan ikan tersebut telah melahap gewang dengan kemas.

Saya melakukan rentapan kuat untuk memastikan mata kail tertancap kukuh di mulut ikan. Seterusnya, beberapa kali lagi rentapan yang padu dilakukan sambil drag kekili

Daiwa Zillion TWHD dikunci sepenuhnya untuk mengelakkan ikan lari masuk ke reba, sebelum pertarungan yang mendebarkan pun bermula.

Ikan tersebut akhirnya keluar dari celah pokok, dan tiba-tiba terus melompat tinggi. Bentuk badannya ternyata bukan seperti toman kerana jarak ikan tersebut masih jauh dari pandangan mata kami.

Pada mulanya, saya menyangka inilah induk toman yang kami pujuk sejak awal tadi, tetapi ketika ikan meluru ke arah bot, kelibat badannya yang berwarna cerah membuatkan kami menyangka ia mungkin toman bujang.

Pertarungan berlangsung beberapa minit. Ketika ikan tersebut hampir ke tepi bot, barulah tekong sedar ia sebenarnya ikan kelisa.

Debaran semakin terasa apabila ikan itu terus melakukan beberapa kali lagi aksi akrobatik. Adrenalin memuncak dan saya hanya mampu berharap ia tidak terlepas. Setelah ikan itu mula kelihatan sedikit lemah, barulah Ikhwan berjaya menangguknya dan membawa naik kelisa itu ke dalam bot. Alhamdulillah, inilah rezeki yang telah diatur-Nya.

Kami berpelukan di atas bot dengan penuh rasa syukur.

Aksi lompatan akrobatik ikan kelisa.

Pada awalnya, saya tidak memahami sebab tekong begitu gembira apabila saya berjaya menaikkan kelisa tersebut. Rupa-rupanya, ikan yang saya tangkap bukanlah sebarangan ikan. Ia adakah kelisa hijau nami, spesies yang dikatakan sangat-sangat jarang ditemui dan diberitakan hampir pupus sejak 20 tahun lalu.

Ikhwan juga bercerita bahawa dia telah mencari ikan kelisa hijau nami ini sejak 2009, namun tidak pernah berjaya sebelum ini. Tidak hairanlah hati kecilnya seolah-olah merasakan sesuatu istimewa akan berlaku pada hari tersebut.

Setelah ditimbang menggunakan boga grip, beratnya hampir enam kilogram iaitu lebih kurang 14 paun.

Sepanjang hidup saya, inilah kelisa paling besar yang pernah saya lihat dengan mata kepala sendiri. Apabila diamati kembali, saiznya jelas menunjukkan ia sudah sangat tua.

Memperolehi kelisa dengan saiz seperti ini, sememangnya sangatlah sukar dan jarang berlaku untuk masa sekarang, lebih-lebih lagi dengan tekanan memancing yang sangat tinggi.

Selepas sesi bergambar, kami bersedia untuk melepaskan ia kembali. Namun, keadaan ikan itu kelihatan lemah dan tidak bermaya. Pada masa sama, bot-bot sahabat yang lain menghampiri kami.

Mereka terkejut melihat ikan yang kami perolehi. Kami meminta tolong untuk dipulihkan kembali ikan tersebut. Tekong Mat Kun segera memberikan bantuan dan berusaha sedaya upaya. Namun, setelah diamati dengan lebih teliti, kami menyedari bahawa rahang ikan itu telah patah. Peluang untuk ikan itu terus hidup sangatlah tipis.

Kami berusaha hampir setengah jam untuk menyelamatkan ikan tersebut, tetapi akhirnya kami yakin ia tidak akan dapat bertahan. Perasaan gembira yang kami rasakan pada awalnya bertukar menjadi duka dan kekesalan apabila gagal menyelamatkannya.

Tujuan utama saya datang ke Tasik Gubir adalah untuk mencari ikan toman bukannya kelisa. Saya telah menyiapkan segala senjata yang ampuh untuk permainan ikan toman.

Namun, saya tidak pernah menyangka seekor kelisa pula yang akan terpancing. Kaedah yang saya gunakan untuk memancing toman dengan drag yang dikunci sepenuhnya, ternyata tidak sesuai untuk ikan kelisa.

Kemungkinan besar, inilah punca rahang ikan tersebut patah. Tambahan pula, cara kami mengendalikan ikan itu mungkin tidak betul kerana kami tiada pengalaman langsung memancing kelisa.

Selepas memancing, kami terus pulang ke Kuala Lumpur. Saya pasti berita tentang tangkapan ini akan tersebar luas. Dua hari kemudian, tekong Fahanif pula berjaya menaikkan seekor lagi kelisa spesies yang sama seberat 4 kilogram. Ikan tersebut telah dilepaskan kembali ke tasik bersama orang kampung.

Ini membuktikan bahawa spesies kelisa hijau nami ini masih wujud di tasik itu, tetapi sangat sukar untuk ditemui. Kemungkinan besar jumlahnya juga sudah sangat sedikit.

Kelisa ini juga dipercayai satu-satunya spesies arowana yang wujud di Tasik Gubir. Keunikan spesies arowana ini dengan corak berbatik di sisiknya menjadikannya sangat istimewa dan berharga.

Walaupun berjaya menaikkan ikan ini, namun saya menerima pelbagai pujian dan ada juga kecaman. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui ikan tersebut telah mati.

Setiap tanggapan dan pendapat yang diberikan memberi pengajaran berbeza, namun kami tetap berbangga dengan pengalaman yang sangat bermakna dan tidak dapat dilupakan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN