fbpx

Bank Rakyat sumbang bantuan sekolah, komputer di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ewon (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan Bank Rakyat kepada sekolah di Sabah. Foto FACEBOOK EWON BENEDICK OFFICIAL MEDIA

PETALING JAYA – Seramai 1,440 murid dan pelajar B40 di 72 buah sekolah di Penampang dan Kadamaian, Kota Belud di Sabah menerima bantuan sekolah sumbangan Bank Rakyat berjumlah RM144,000.

Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) itu turut menyerahkan sebanyak 460 set komputer kepada 55 buah sekolah di kedua-dua daerah itu.

Kuskop berkata, sumbangan itu disampaikan pada Program Jangkauan Komuniti Madani Bank Rakyat: Penyerahan Set Komputer dan Sumbangan Kembali Ke Sekolah Sabah 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Piasau, Kota Belud dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbanak, Penampang.

Program itu disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick semalam.

Ewon berkata, sumbangan itu menunjukkan komitmen berterusan Bank Rakyat dalam memperkasakan pendidikan dan membantu pelajar yang memerlukan.

“Bagi pihak pelajar dan sekolah, saya ucapkan terima kasih kepada Bank Rakyat kerana terus menjadi sebahagian daripada penyelesaian keperluan dalam gerakan pendidikan bagi melengkapkan usaha sedia ada
khususnya yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan,” katanya.

Jelasnya, selepas meneraju Kuskop dua tahun lalu, beliau memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak termasuk memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara berkaitan pembangunan keusahawanan, koperasi dan pendidikan.

Ewon berkata, dalam bidang pendidikan Bank Rakyat, Yayasan Bank Rakyat (YBR) bersama agensi lain di bawah kementeriannya giat melaksanakan pelbagai inisiatif di dua negeri itu antaranya Program Ehsan@Kuskop.

“YBR menyalurkan sumbangan RM3 juta untuk melaksanakan inisiatif itu yang akan dilaksanakan di tiga daerah yang mempunyai daftar e-Kasih yang tinggi iaitu Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd. Irwan Mohd. Mubarak berkata, menyedari pendidikan kunci masa depan lebih cerah, Bank Rakyat percaya setiap pelajar berhak mendapat peluang sama untuk menimba ilmu tanpa kekangan kewangan.

“Sumbangan Kembali Ke Sekolah ini diharap dapat meringankan beban ibu bapa serta memberi semangat kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam akademik mereka.

“Sumbangan komputer bertujuan memastikan pelajar mendapat akses kepada peralatan pembelajaran digital lebih baik sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk mereka meneroka ilmu secara interaktif dan inovatif,” katanya.

Tambahnya, inisiatif ini juga sejajar dengan usaha kerajaan dalam memperkasakan pendidikan digital di Malaysia, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI