MUHAMMAD Fahim Rozalan yang berasal dari Selama, Perak, mengakui usia tidak menjadi penghalang untuknya menambah ilmu bagi meningkatkan taraf kehidupan.
Malah, lelaki berumur 32 tahun ini sangat bertuah kerana merupakan salah seorang peserta yang terpilih bagi mengikuti kursus pembaikan kenderaan ringan di Kolej Teknikal Sri Ayu selama setahun yang ditaja sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi golongan asnaf.
Kata anak bongsu daripada tiga beradik itu, dia melakukan pelbagai pekerjaan di kampung dengan pendapatan yang tidak seberapa.
“Saya hanya bekerja buruh kontrak untuk membina rumah atau ubah suai rumah penduduk kampung selain mengambil upah meracun dan sebagainya.
“Namun, sebaik sahaja terpilih untuk mengikuti kursus Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), saya teruja kerana tiada yuran yang dikenakan, malah asrama dan elaun sebanyak RM600 sebulan diberikan untuk keperluan hidup,” katanya ketika kepada K-Kampus.
Dia yang tidak menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana kekangan hidup, bersyukur di atas peluang yang diberikan oleh oleh MAIPk dan Kolej Teknikal Sri Ayu kepada golongan asnaf sepertinya.

“Syaratnya mudah iaitu berumur 17 tahun hingga 35 tahun, lelaki, boleh menulis, membaca, mengira dan minat (4M), selain tidak terlibat dengan dadah dan kes jenayah.
“Pastinya, peluang ini saya akan gunakan dengan sepenuhnya bagi meningkatkan kemahiran selain belajar bersungguh-sungguh sehingga menamatkan pengajian kerana tidak perlu risaukan mengenai komitmen yuran dan sebagainya,” katanya.
Ujar Muhammad Fahim, dia bercita-cita untuk bekerja di bengkel kereta atau mempunyai bengkel kenderaan sendiri satu masa nanti.
“Bidang automatif ini sebenarnya terbuka luas kerana bilangan pengguna kenderaan bertambah setiap hari terutamanya kereta walaupun di kawasan pedalaman sekalipun.
“Justeru, kereta-kereta ini perlu sentiasa dalam keadaan yang baik selain perlu dibaiki kerosakan kecil atau besar.
“Sekiranya diizinkan Tuhan, saya ingin bekerja di bengkel kereta kelak dengan gaji yang berpatutan dan sekiranya ada rezeki ingin mempunyai bengkel sendiri,” katanya.
Sementara itu, bagi Abdullah Fikri Bakri yang berumur 20 tahun memberitahu, gelora sebagai seorang remaja telah mendorongnya untuk meminati kenderaan terutamanya kereta.
“Saya sebelum ini telah bekerja di sebuah bengkel kereta di Sitiawan, Perak sebelum kakak meminta saya mengikuti kursus yang dia terima menerusi aplikasi WhatsApp.

“Ini merupakan peluang kepada saya untuk menambah kemahiran berkaitan baik pulih dan servis kereta selain dalam masa sama mempunyai kelulusan yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK),” katanya.
Anak bongsu daripada dua beradik itu bercita-cita untuk mempunyai pekerjaan yang stabil sebaik menamatkan pengajian kelak termasuk bekerja dengan syarikat pengeluar kereta terkenal negara seperti Proton dan Perodua.
“Di Perak, syarikat Proton terletak di Tanjung Malim dan sekiranya diberi peluang saya ingin bekerja di situ untuk membina kerjaya yang baik.
“Memang saya masih muda, tetapi lebih baik kita merancang lebih awal kerana semua itu merupakan pilihan kita sendiri,” katanya.
Pengarah Kolej Teknikal Sri Ayu Sdn. Bhd., Rezni Majid berkata, terdapat 23 orang pelajar yang mengikuti kursus tajaan MAIPk di kolej itu pada tahun ini.
“Kursus-kursus ini memberi peluang kepada mereka untuk bergelar golongan profesional yang mempunyai kemahiran TVET yang menjadi antara keutamaan mutakhir ini.
“Selain itu, kursus ini juga membantu mereka keluar daripada belenggu kemiskinan selain berisiko untuk terlibat dalam masalah gelaja sosial kerana kecenderungan telah dialihkan untuk pendidikan,” katanya.














