fbpx
TINJAUAN dari udara kesan hakisan pantai akibat fenomena ombak besar di Batu Rakit, Kuala Nerus pada 13 Januari lalu. - PUQTRA HAIRRY

66 kilometer pesisir pantai Terengganu terjejas hakisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MASALAH hakisan pantai yang berlaku di Terengganu bukanlah isu baharu malah menjadi ‘duri dalam daging’ buat negeri ini sejak puluhan tahun lalu.

Ia menjadi semakin kritikal sejak akhir-akhir ini hingga menyebabkan banyak kemusnahan infrastruktur awam dan kehilangan harta benda penduduk yang menetap di pesisir pantai.

Pelbagai pihak menzahirkan kebimbangan fenomena itu bakal menyebabkan Terengganu kehilangan pantai indah yang menjadi aset berharga selama ini.

Wartawan Kosmo! Ahad, Kamaliza Kamarudin menemu bual Timbalan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Effi Helmy Ariffin bagi mengupas isu tersebut.

KOSMO AHAD!: Hakisan pantai teruk menjejaskan beberapa kawasan pesisir di Terengganu terutama Mengabang Telipot, Pengkalan Maras dan Batu Rakit, Kuala Nerus; Rhu Muda, Marang dan Geliga di Kemaman. Apakah langkah ideal bagi mengatasi masalah tersebut?
EFFI HELMY: Buat masa ini, pembinaan benteng pemecah ombak (breakwater) adalah penyelesaian terbaik untuk menyelamatkan pantai-pantai yang terjejas teruk akibat hakisan di negeri ini.

Kaedah ini telah terbukti berjaya mengurangkan impak ha­kisan dengan begitu baik seperti dilaksanakan di Pantai Tok Jembal berhampiran kampus UMT, Kuala Nerus sebelum ini.

Begitupun, pembinaan benteng tersebut perlu dilakukan selepas kajian terperinci dilakukan mengikut tahap hakisan serta bentuk dan kedalaman profil pantai.

Apakah kaedah yang dilakukan di luar negara bagi mengatasi masalah ha­kisan di pantai boleh dijadikan contoh kepada kita?
Sebenarnya, pelbagai kaedah boleh dibuat mengikut kesesuaian kawasan setempat.

Sebahagian negara hanya membina benteng batu dan ada membuat pemecah ombak sama seperti di kawasan UMT sebelum ini.

Ada yang sesuai untuk pembinaan benteng pemecah ombak dengan binaan T-Groin, River Groin, struktur perlindungan tebing, penambakan pantai dan struktur lapis lindung.

Pelbagai reka bentuk benteng pemecah ombak boleh dibina sama ada benteng konkrit, ­tetrapod atau gabion bergantung terhadap keper­luan di kawasan pantai terjejas berkenaan.

Isu hakisan pesisir pantai Terengganu bukan perkara baharu dan telah berlaku sejak puluhan tahun lalu. Apakah punca menyebabkan ia amat terdedah dengan fenomena itu?
Pantai Terengganu bersifat terbuka dan terdedah secara langsung kepada Laut China Selatan tanpa dilindungi daratan luas seperti di Pantai Barat Semenanjung.
Ketinggian ombak Laut China Selatan pula sentiasa bertambah setiap tahun disebabkan pelbagai faktor termasuk pemanasan global.

Pada musim tengkujuh kali ini, ketinggian ombak mencecah lebih 3 meter menyebabkan pesisir pantai Terengganu menerima kesan ini secara langsung berikutan tiada perlindungan seperti Pantai Barat yang mempunyai Sumatera sebagai ‘kubu pertahanan’.

Selain itu, jarak garis pantai sepanjang 244 kilometer juga menyebabkan Terengganu be­risiko menerima impak paling teruk berbanding negeri-negeri lain.

DR. EFFY HELMY menyatakan, pantai Terengganu tidak akan ‘lenyap’ oleh
hakisan jika benteng pemecah ombak dibina di lokasi terjejas.

Sepanjang kajian Dr., kawasan pesisir pantai manakah di Terengganu paling terjejas dengan masalah hakisan tersebut?
Sebenarnya, hampir semua kawasan pantai Terengganu terdedah dengan ancaman ini tetapi yang paling kritikal ialah Pantai Mengabang Telipot dan Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus.

Selain itu, Pantai Geliga, Kemaman dan Pantai Sura, Dungun juga berdepan ancaman sama yang semakin membimbangkan ketika ini.
Berdasarkan kajian Jabatan Pengairan dan Saliran pula, saya difahamkan terdapat 34 kawasan pantai di negeri ini dikenal pasti terjejas akibat hakisan pada tahun lalu.

Jumlahnya juga agak besar iaitu lebih 66 kilometer pesisir pantai melibatkan tujuh daerah di Terengganu.

Senario hakisan ini nampak­nya amat membimbangkan. Sekiranya tiada langkah diambil segera, apakah nasib pantai Terengganu dalam tempoh 20 tahun lagi?
Pantai sebenarnya sangat dinamik dan masalah hakisan ini hanya berlaku pada tempoh Monsun Timur Laut (MTL).

Begitupun, ia akan kembali pulih di luar musim tengkujuh disebabkan pergerakan semula pasir dari laut ke pesisir pantai.

Semua kawasan pantai di Terengganu masih boleh di­selamatkan. Saya percaya generasi baharu masih dapat menikmati keindahannya bagi tempoh 20 tahun lagi.

Kecualilah berlaku aktiviti luar jangka melibatkan pemba­ngunan berskala besar di tepi pantai tersebut.

Apapun, harus diingat agar perancangan lebih rapi penyelesaian jangka panjang perlu di­segerakan supaya lanskap pantai Terengganu tidak akan banyak berubah dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Ini bererti pantai peranginan indah di Terengganu tidak akan lenyap seperti dirisaukan.

Insya-Allah, Terengganu masih boleh mewariskan keindahan pantainya kepada generasi akan datang.

Syaratnya langkah penyelesaian segera diambil secara proaktif iaitu membina benteng pemecah ombak di kawasan terjejas.

Benteng ini akan bertindak memberi perlindungan kepada pantai yang masih ada.

Adakah langkah kerajaan membina benteng pemecah ombak sekarang sudah mencukupi bagi mengurangkan impak hakisan pantai?
Langkah itu sebenarnya sudah mencukupi dan terbukti berjaya di kawasan yang terjejas sebelum ini.

Selain itu, langkah hibrid iaitu menggabungkan pembinaan pemecah ombak dengan tukun juga dilihat berpotensi mengawal isu hakisan pantai di Terengganu.

Kaedah hibrid iaitu meletak­kan tukun antara kawasan pemecah ombak wajar dilaksanakan kerana juga mampu mengurangkan kelajuan ombak, sekali gus dapat mengurangkan impak hakisan.

Kosnya juga jauh lebih murah dan sangat praktikal dilaksanakan kerana memberi manfaat kepada nelayan pesisir pantai di negeri ini.

Kaedah ini sesuai dilakukan sebagai satu penyelesaian segera untuk tempoh jangka pendek.

Ini juga adalah cadangan ­alternatif untuk menambah baik pelan menangani hakisan pantai di Terengganu ketika ini.

SEBUAH banglo terhakis teruk akibat fenomena ombak besar di Kampung Tanjung, Batu Rakit, Kuala Nerus baru-baru ini.

Berdasarkan insiden banglo diancam hakisan di Kampung Tanjung, Batu Rakit, Kuala Nerus yang tular baru-baru ini. Adakah ia masih boleh di­selamatkan?

Insya-Allah akan selamat dengan penambahan benteng di luar kawasan pantai iaitu de­ngan memperlahankan ombak di kawasan berdekatan.

Kawasan pantai berhampiran banglo tersebut boleh ditambak semula dengan pasir apabila keadaan kembali tenang dengan berakhirnya MTL pada akhir bulan Mac depan.

Ini juga boleh dilakukan di lokasi lain untuk menyelamatkan harta benda penduduk termasuk pemain industri pelancongan yang mempunyai chalet, resort atau premis perniagaan lain di kawasan terjejas.

Apa nasihat kepada orang ramai yang bercadang membina rumah atau resort di kawasan berisiko hakisan di pesisir pantai Terengganu?
Pertama, individu tersebut perlu melihat senario setempat dan sejarah kawasan tersebut sama ada mudah terkesan dengan hakisan atau sebaliknya.

Mereka juga masih boleh memilih banyak lagi pantai yang tidak berisiko seperti di Pantai Pengkalan Atap, Kuala Nerus hingga ke utara sempadan Me­rang, Setiu.

Lokasi pantai ini masih selamat diduduki atau dibangunkan untuk aktiviti riadah.

Cuma nasihat saya, jangan panik jika pantai sudah terhakis di sekitar kawasan kediaman atau bangunan sedia ada.

Masih ada penyelesaiannya iaitu jangan membina benteng batu di kawasan terhakis kerana ia akan menyebabkan kawasan bersebelahan terhakis dengan lebih teruk.

Kawasan yang terhakis ini akan mengurangkan kekuatan ‘tenaga’ ombak yang boleh me­ngawal punca hakisan.

Sebagai alternatif atau langkah awal, penduduk juga boleh menggunakan pelbagai solusi lain dengan membina pagar kayu, beg pasir dan menambak­nya dengan pasir semula.

Semuanya perlu dilakukan dengan memahami keadaan ­profil dan dinamik pantai di kawasan terhakis tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN