KEMAMAN – Seorang lelaki nyaris hilang nyawa apabila sebahagian struktur rumah pusaka peninggalan arwah ibunya di Kampung Geliga Baru di sini ranap dibadai ombak besar pada Ahad lalu.
Dalam kejadian pada pukul 7 malam itu, bahagian dapur dan sebahagian struktur bumbung rumah didiami Mohd. Shameer Talib, 33, tiba-tiba runtuh sewaktu dia dan
abangnya berada di ruang tamu.
“Waktu itu saya dan abang sedang mengalihkan perabot berikutan rumah pusaka arwah ibu mula dimasuki air laut dan pasir ekoran fenomena air pasang besar.
“Terkedu kami apabila struktur dapur dan bumbung tiba-tiba runtuh. Nasib baik kami tidak berada di bahagian berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Geliga Baru di sini semalam.
Mohd. Shameer sebak mengenangkan rumah pusaka peninggalan arwah ibunya mengalami kerosakan teruk sekelip mata.
Kata anak ketiga daripada lima beradik terbabit, dia mengambil tanggungjawab menjaga rumah tersebut sejak kematian ibunya pada 10 tahun lalu.
“Biasanya empat adik-beradik saya akan pulang ke rumah ini untuk berkumpul pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.
“Rumah ini banyak kenangan buat kami sekeluarga yang dibina hasil titik peluh arwah ibu dan ayah,” katanya.
Mohd. Shameer berkata, hakisan pantai semakin kronik sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan jarak pantai semakin mendekat hanya kira-kira 10 meter dari rumahnya.















