Makan secara sihat adalah salah satu aspek penting dalam menjaga kesihatan dan kesejahteraan. Diet sihat dan berkhasiat bukan sahaja memberikan tenaga yang diperlukan oleh tubuh badan, malah memperkuat sistem imun. Ini sekali gus membantu mencegah pelbagai penyakit kronik seperti obesiti, diabetes, hipertensi dan penyakit jantung.
Pemakanan sihat melibatkan pengambilan pelbagai jenis makanan daripada semua kumpulan makanan, termasuk buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, protein dan lemak sihat.
Setiap kumpulan makanan menyediakan nutrien berbeza yang penting untuk kesihatan, dan pengambilan pelbagai jenis hidangan dapat memastikan tubuh mendapat pelbagai nutrien.
Makan secara sihat mempunyai pelbagai manfaat yang menyumbang kepada kesihatan dan kesejahteraan secara menyeluruh.
Pemakanan seimbang dan sihat membantu mengekalkan berat badan ideal.
Makanan yang kaya dengan serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh memberikan rasa kenyang lebih lama dan mengurangkan keinginan untuk makan secara berlebihan.
Jadi, nutrien yang diperoleh daripada makanan sihat akan membekalkan tenaga diperlukan oleh tubuh untuk menjalankan aktiviti harian. Karbohidrat adalah sumber tenaga utama untuk tubuh.
Makanan yang kaya dengan karbohidrat kompleks adalah seperti beras perang, roti gandum penuh dan bijirin.
Karbohidrat kompleks seperti bijirin penuh dan sayur-sayuran dapat membantu dalam penghadaman, memberikan rasa kenyang lebih lama dan memberikan tenaga berterusan.
Sementara itu, protein penting untuk pembinaan dan pembaikan tisu badan.
Sumber protein yang baik termasuk daging tanpa lemak, ikan, telur dan kekacang. Protein juga boleh didapati daripada sumber tumbuhan seperti tofu dan tempe.
Selain itu, nutrien seperti vitamin C, vitamin E, dan zink adalah penting untuk fungsi sistem imun. Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah sumber vitamin, mineral, dan serat yang penting.
Makanan yang kaya dengan antioksidan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran membantu melawan radikal bebas serta meningkatkan pertahanan badan terhadap jangkitan. Produk tenusu seperti susu, yogurt dan keju adalah sumber kalsium dan vitamin D yang baik untuk kesihatan tulang.
Selain itu, air adalah komponen penting dalam diet sihat.
Jadi, minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari dapat membantu dalam proses penghadaman, penyerapan nutrien, dan pengeluaran sisa toksik daripada tubuh.
Hakikatnya,terdapat beberapa langkah praktikal yang boleh diambil untuk memastikan kita makan secara sihat.

– Gambar hiasan
Pertamanya, merancang hidangan adalah kunci kepada pemakanan sihat. Rancang menu mingguan yang seimbang dan pelbagaikan pilihan makanan untuk memastikan pengambilan nutrien mencukupi. Buat senarai membeli-belah berdasarkan menu yang dirancang untuk mengelakkan pembelian makanan tidak sihat.
Sebaiknya, baca label makanan untuk mengetahui kandungan nutrien dalam makanan yang kita beli.
Perhatikan kandungan kalori, gula, garam dan lemak dan memilih makanan yang rendah dalam kandungan gula, garam serta lemak tepu.
Sementara itu, memasak di rumah dapat mengawal terhadap bahan-bahan yang digunakan dan cara penyediaan makanan. Gunakan teknik memasak yang sihat seperti mengukus, memanggang atau merebus berbanding menggoreng.
Pilihlah makanan segar dan tidak diproses. Makanan diproses sering kali mengandungi bahan tambahan yang tidak sihat seperti pengawet, pewarna tiruan dan gula tambahan.
Pengambilan gula dan garam yang berlebihan boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan seperti obesiti, diabetes dan hipertensi.
Lebihkan makanan segar seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh dalam diet harian.
Kurangkan pengambilan minuman bergula seperti soda dan jus buah yang diproses. Sebaliknya, minum air kosong. Untuk mengurangkan pengambilan garam, elakkan makanan yang tinggi kandungan garam seperti makanan segera, makanan dalam tin dan snek diproses.
Gunakan herba dan rempah untuk menambah rasa dalam masakan sebagai pengganti garam. Selain itu, makan bersama keluarga bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan, tetapi memberi peluang untuk berkongsi makanan sihat.
Apabila makan bersama, kita akan lebih cenderung untuk menyediakan dan menikmati makanan berkhasiat. Makan secara sihat adalah asas kepada kehidupan yang berkualiti dan seimbang.
Pemakanan sihat adalah pelaburan terbaik untuk masa depan lebih baik dan ceria.














