fbpx
Ibu terlalu kecewa dengan tindakan Ina yang enggan membuatkan pinjaman peribadi untuk abangnya. – Gambar hiasan

Dibenci keluarga kerana tak buat pinjaman untuk abang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DIBUANG keluarga hanya disebabkan tidak mahu melakukan pinjaman peribadi untuk abang.

Itulah situasi pahit yang dialami oleh seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Ina.

“Saya bukan tidak mahu menolong abang saya, tetapi saya tahu akan perangainya.

“Saya tidak yakin dia mampu membayar kembali pinjaman tersebut dan akhirnya saya akan menanggung akibatnya kerana pinjaman itu dibuat atas nama saya,” katanya yang kini berusia pertengahan 30-an.

Menceritakan lebih lanjut, Ina menjelaskan dia dan abangnya, hanya dua beradik sahaja. Di dalam keluarganya, abangnya merupakan anak kesayangan ibu.

Jika diikutkan rezeki dalam pekerjaan, dia lebih beruntung kerana Ina bekerja dalam sektor awam bersama suami, manakala abangnya bekerja sendiri dengan berniaga di pasar malam.

Menurut Ina, abangnya itu tinggal dengan keluarga di kampung bersama ibunya.

“Pada tahun lalu, ibu saya memberitahu bahawa abang saya mahu meminta bantuan untuk melakukan pinjaman peribadi dengan menggunakan nama saya.

“Abang saya tidak boleh melakukan pinjaman peribadi kerana tidak layak,” jelasnya.

Pada mulanya, Ina ingin membantu, namun dia menjadi berbelah bahagi untuk berbuat demikian apabila mengetahui jumlah pinjaman yang ingin dilakukan oleh abangnya itu.

Abangnya ingin melakukan pinjaman peribadi berjumlah hampir RM200,000 dengan tujuan untuk melabur dan memulakan perniagaan bersama rakannya.

“Ibu saya menyatakan bahawa abang saya ingin ubah kehidupannya dan dia memerlukan wang sebanyak itu untuk memulakan perniagaan bersama rakannya.

“Mendengar jumlah pinjaman yang begitu besar saya sendiri merasakan tidak boleh untuk membantunya.

“Saya risau abang saya tidak mampu membayar kembali ansuran bulanan pinjaman tersebut dan akhir sekali saya yang akan menjadi mangsa,” terangnya.

Malah, Ina masih ingat sebelum ini arwah bapanya pernah menggunakan namanya untuk membantu abangnya melakukan pinjaman peribadi.

Akhirnya, bapanya yang terpaksa membayar ansuran bulanan pinjaman tersebut apabila wang yang dipinjam tersebut habis begitu sahaja digunakan oleh abangnya.

Ibunya mendesak untuk Ina melakukan pinjaman peribadi bagi membantu abangnya itu.

Sebelum itu, Ina perlu meminta izin suaminya terlebih dahulu untuk berbuat demikian.

“Suami melarang saya untuk membuat pinjaman tersebut kerana pinjaman itu merupakan satu jumlah yang besar.

“Saya kemudian memberitahu ibu bahawa suami saya tidak memberi keizinan untuk berbuat demikian, ibu saya marah dengan saya kerana tidak mahu membantu abang sendiri,” kata Ina.

Bukan itu sahaja, Ina turut dimarahi oleh abangnya dan mereka langsung tidak bertegur sapa.

Malah, isteri kepada abangnya turut menghasut ibu Ina untuk membenci mereka sekeluarga kerana tidak mahu membantu melakukan pinjaman tersebut.

Apa yang membuatkan Ina lebih terkilan, tanah peninggalan bapanya yang sepatutnya diserahkan kepadanya turut dijual oleh ibunya semata-mata ingin membantu abangnya itu.

“Hal ini membuat saya dan ibu juga bergaduh. Ibu mengatakan bahawa saya tiada hak untuk tanah itu dan sebelum ayah meninggal dunia dia sudah memberitahu kepada ibu saya untuk menyerahkan tanah itu kepada saya.

“Malah, ibu saya juga mengungkit kerana saya tidak membantu untuk membuat pinjaman untuk abang dan dia turut mengatakan saya anak yang tidak kenang budi.

“Bukan itu sahaja, ibu juga tidak membenarkan saya untuk datang ke rumahnya lagi kerana tidak mengikut apa katanya,” jelas Ina.

Malah, abangnya turut bergaduh dengan suaminya kerana hal tersebut.

Abangnya mengatakan bahawa suami Ina yang menghasut dan tidak membenarkan Ina untuk melakukan pinjaman peribadi buatnya.

Hal itu membuatkan Ina tawar hati dengan keluarganya dan selepas itu dia sudah tidak menjejakkan kaki ke rumah ibunya lagi.

Pergaduhan itu berlarutan sehingga sekarang dan apa yang dia dengar perniagaan yang ingin diceburi abangnya itu berhadapan dengan kerugian.

Dia bersyukur kerana tidak mengikuti apa kata keluarganya dengan melakukan pinjaman peribadi untuk abangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN