SHAH ALAM – Guna kod respons pantas (QR) antara taktik digunakan kumpulan scammer bas sekolah bagi memperoleh wang secara pantas daripada mangsa.
Perkara itu didedahkan sendiri seorang pengusaha bas, Hasmadi Ismail, 48, yang membuat penyamaran bagi mengesan pelakunya selepas terpalit dengan kegiatan scammer tersebut.
Katanya, bagi meyakinkan mangsa, scammer menghantar borang pendaftaran murid sebelum sesi perjumpaan dengan waris.
“Saya menerima tiga panggilan daripada mangsa pada bulan ini berhubung perkara ini susulan scammer ‘mempromosikan’ alamat operasi di kawasan saya sebelum membuat keputusan untuk melakukan risikan sendiri.
“Hasil semakan mendapati, van yang dipamerkan didaftarkan di Johor dan dua syarikat palsu digunakan mereka adalah untuk perusahaan penanaman getah dan kosmetik,” katanya di sini semalam.
Menurutnya yang telah 15 tahun berkecimpung dalam perkhidmatan bas sekolah, pemerhatian juga mendapati van yang dipamerkan tersebut kelihatan cantik dan kemas kerana diambil atau baru keluar dari syarikat pembelian van atau bas sekolah.
Tambahnya, kumpulan tersebut juga enggan berjumpa meskipun ingin membuat pembayaran secara tunai bagi mempercepatkan urusan pendaftaran anak-anak.
“Ini kejadian kedua seumpamannya yang berlaku terhadap saya dengan kali pertama adalah Jun lalu melibatkan seorang mangsa.
“Justeru, saya menasihatkan mangsa agar membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, seorang mangsa mahu dikenali Alice, 30, memaklumkan dia terperdaya selepas melihat di laman sosial Facebook dengan salah seorang dipercayai rakan scammer mengesyorkan perkhidmatan berkenaan selain memberikan nombor untuk dihubungi dalam bentuk aplikasi WhatsApp.
“Saya terdesak susulan lokasi tempat tinggal amat kurang mempunyai perkhidmatan bas atau van sekolah untuk anak yang akan memasuki darjah satu tahun depan.
“Scammer akan ‘bergerak’ menerusi dua nombor telefon iaitu bagi menghantar kod QR dan menghubungi mangsa sekiranya lambat membuat bayaran,” katanya.














