ANTARA perkara paling rimas untuk difikirkan adalah tentang hutang. Ramai yang berhutang kerana kesempitan hidup dan kemiskinan. Ada juga yang berhutang kerana rasa terdesak untuk mendapatkan sesuatu.
Dalam dunia serba moden, jarang sekali kita jumpa manusia yang tidak berhutang. Mungkin ada yang berhutang untuk yang tempoh singkat, tetapi lebih ramai yang berhutang seumur hidup.
Walaupun hutang sering dilihat dari sisi negatif, ia tetap ada tujuan yang baik. Sebagai contoh, kita perlu berhutang untuk melanjutkan pengajian.
Untuk memiliki sebuah rumah dan kereta, kita juga perlu berhutang. Begitu juga dalam hal perniagaan. Dalam situasi ini, orang melihatnya sebagai faktor keperluan. Berhutang untuk membina kehidupan yang lebih baik.
Bagi sesetengah orang pula, hutang itu wujud akibat masalah keperibadian dan kegagalan mengurus kewangan. Mereka ini boleh diistilahkan sebagai manusia boros yang sanggup berhutang untuk perkara yang sia-sia.
Mereka berhutang untuk sesuatu yang tidak penting dan hanya berpaksikan kepada kepuasan diri semata-mata. Watak ini banyak muncul di sekeliling kita. Contoh paling jelas adalah kaki judi dan penagih dadah.
Hakikatnya, kita sebenarnya dibolehkan untuk berhutang sebagai satu cara untuk keluar daripada sebarang kesulitan. Namun, ia perlu dilakukan dengan tertib dan mengikut kaedah yang betul.
Paling penting, hutang itu perlu segera dibayar agar tidak menjadi beban yang berpanjangan.
Masalah timbul apabila hutang tidak dibayar. Kesannya bukan hanya kepada penghutang, tetapi juga kepada si pemiutang. Kegagalan melunaskan hutang hanya akan merosakan hubungan sosial yang akhirnya memutuskan silaturrahim.
Perkara ini antara isu paling dekat dalam masyarakat. Ada kawan yang tidak bertegur sapa kerana hutang. Ada juga adik-beradik yang bermasam muka kerana dipalit hutang. Paling tragis, ada nyawa yang melayang hanya kerana hutang.
Dari segi hukum dan perundangan, kegagalan membayar hutang bukan hanya menjejaskan reputasi, malah boleh berakhir dengan tindakan mahkamah. Natijahnya, ada rumah yang disita dan ada kenderaan yang ditarik.
Realitinya, setiap orang berdepan masalah yang berbeza-beza dan cara penyelesaian hutang juga bermacam kaedah.
Asas paling utama, jadilah manusia yang bijak mengurus kewangan. Lakukan analisis untuk setiap perbelanjaan agar hutang dapat diselesaikan mengikut jadual.
Bagi yang tidak mampu, jadilah manusia yang bertanggungjawab. Berbincang dengan orang yang memberi hutang dan jangan jadi manusia sombong. Untuk anak muda, ubah cara hidup dan beri tumpuan kepada perkara perlu. Belajarlah hidup secara sederhana.
Selain itu, cuba jana pendapatan tambahan. Bekerja sampingan sebagai satu cara mencari wang untuk melunaskan hutang dengan segera. Perkara ini mungkin nampak mudah, tetapi menuntut komitmen yang tinggi.
Di akhirnya kita perlu sedar bahawa kesukaran membayar hutang itu adalah perkara biasa bagi setiap manusia. Kuncinya adalah rasa tanggungjawab untuk melunaskan setiap yang dihutang.
Jadilah manusia yang bahagia tanpa hutang. Bak kata penulis dari seberang, Triani Retno, alangkah indahnya jika banyak mimpi daripada banyak hutang.














