fbpx
Timun merupakan antara sayur-sayuran yang berdepan kenaikan harga pada musim tengkujuh ketika tinjauan di sebuah pasar di Lipis.

Rancak naik 100 peratus harga sayur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Harga sayur-sayuran di tujuh negeri meng­alami kenaikan ekoran bencana banjir sejak bulan lalu.

Antara sayur yang mengalami kenaikan harga adalah sawi panjang, kailan, lobak, timun, kangkung, daun sup dan tomato. Terengganu merupakan negeri yang mengalami kenaikan ketara iaitu sekali ganda bagi barang basah tersebut.

Di Kuala Terengganu, tinjauan di Pasar Borong Gong Pauh mendapati kailan dan sawi ketika ini dijual pada harga RM10 sekilogram berbanding RM5 sebelum musim tengkujuh.

Turut mengalami kenaikan harga sekali ganda adalah daun sup yang dijual RM15 sekilogram, kacang panjang (RM13), daun bawang (RM12) dan bayam (RM8).

Pemborong sayur, Siti Faridah Mohamad, 34, berkata, dia tidak mempunyai pilihan kerana harga yang diperoleh daripada pekebun di Cameron Highlands, Pahang sudah tinggi.

“Kenaikan harga sayur pada musim tengkujuh adalah normal kerana pengeluaran rendah dan sebahagian kebun musnah akibat bah,” katanya ketika ditemui.

Seorang lagi pemborong, Muhammad Shamsul Bahari, 55, memberitahu, faktor logistik ekoran jalan tenggelam dan runtuh turut mendorong kepada kenaikan harga sayur-sayuran pada musim Monsun Timur Laut (MTL).

Di George Town, harga daun sup dan kacang buncis naik ketara mencecah RM23 per/kg menyebabkan ada peniaga yang memutuskan untuk tidak menjual sayur itu kerana disifatkan tidak masuk akal.

Peniaga yang dikenali sebagai Aishah, 52, pula memberitahu, kenaikan harga itu berlaku secara berperingkat di peringkat pembekal sejak minggu lalu.

“Daun sup sebelum ini dijual RM8 hingga RM10 sekilogram, tetapi harganya kini sudah mencecah RM23. Harga kacang buncis juga naik secara mendadak kepada RM23 berbanding RM10,” katanya.

Harga sawi pula dijual RM13 sekilogram berbanding RM5 sebelum ini.

Di Sungai Petani, tinjauan mendapati tomato dijual pada harga RM9 berbanding RM7 sekilogam sebelum ini, harga kacang bendi pula RM13, manakala kacang buncis daripada RM12 meningkat kepada RM20.

Antara sayur-sayuran lain yang turut mengalami kenaikan harga ialah sawi yang dijual RM12 berbanding RM7 sebelum musim tengkujuh.
“Biasanya pelanggan saya peniaga kedai makan dan suri rumah. Kebiasaannya harga ini akan turun selepas berakhirnya Monsun Timur Laut,” katanya.

Di Shah Alam, tinjauan mendapati berlaku kenaikan harga sayur-sayuran sebanyak 20 pe­ratus yang berlaku sejak tiga minggu lalu khususnya bekalan dari Cameron Highlands.

Peniaga sayur, Ker Zun Pin berkata, sayur seperti timun, kangkung dan sawi mengalami kenaikan sebanyak RM2 hingga RM3 sekilogram.

“Alasan pembekal kerana stok kurang dan kualiti kurang memuaskan selain petani sukar ke ladang. Kami terpaksa melalui situasi ini terutama pada hujung tahun,” katanya.

Di Kota Bharu, peniaga, Noriah Adam, 50, berkata, pembekal meletakkan harga tinggi menyebabkan dia terpaksa menaikkan harga jualan RM1 hingga RM3 bagi sekilogram sayur.

“Cili merah sekarang saya jual RM18 berbanding RM16 sekilogram. Kacang panjang pula RM10 sekilogram,” katanya.

Di Lipis, peniaga S. Ravichandran memberitahu, harga sayur terutama yang berdaun naik sejak lebih dua minggu lalu dan dijangka berterusan sepanjang musim tengkujuh.

“Misalnya sawi sebelum ini dijual RM5 sekilogram sekarang naik sekali ganda. Daun bawang pula RM17 berbanding bawah RM10 sebelum ini. Tidak mengapa harganya tinggi asalkan sayur dalam keadaan elok,” katanya.

Di Ipoh, peniaga, Nur Laili Mohd. Nor, 42, memaklumkan, kenaikan harga sayur ketika ini didorong oleh pelbagai faktor seperti kos logistik, permintaan tinggi menjelang musim cuti sekolah dan perayaan.

“Ada sayur-sayuran yang meng­alami kenaikan sehingga 70 peratus. Ada pelanggan mengeluh tetapi mereka tetap beli sama ada dalam kuantiti sedikit atau pilih sayur lain.

“Kami juga tidak menolak kemungkinan harga akan terus naik jika hujan berte­rusan sehingga Januari,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN