MENERUSKAN pengajian hingga peringkat yang lebih tinggi menjadi impian setiap insan jika mendapat ruang dan peluang untuk berbuat demikian.
Di Malaysia, terdapat banyak institusi pengajian yang menawarkan peluang-peluang tersebut dan salah satunya ialah Management and Science University (MSU).
Malah, MSU antara institusi pengajian terbaik di dalam negara dan meneruskan peningkatan dalam kalangan universiti terbaik di Asia apabila melonjak 26 anak tangga iaitu berada pada kedudukan ke-129 mengikut laporan Quacquarelli Symonds QS World University Rankings: Asia 2025.
Pencapaian ini turut memperkukuh kedudukan MSU dalam kalangan universiti terbaik di rantau Asia Tenggara apabila berada pada anak tangga ke-28 dan turut disenaraikan pada kedudukan ke-580 universiti terbaik dunia berdasarkan QS World University Rankings (WUR) 2025.
Presiden dan Pengasas MSU, Prof. Tan Sri Dr. Mohd Shukri Ab Yajid berkata, ranking itu adalah satu penanda aras yang menunjukkan universiti berada di landasan yang betul di peringkat antarabangsa.
“Ranking itu juga menggambarkan bahawa usaha, polisi dan paksi yang kita lakukan selama ini mencapai hasilnya mengikut penanda aras antarabangsa itu penting.
“Antara perkara yang kita sasarkan yang menjadi nilai di universiti adalah pertama, kita sentiasa ingin menjadikan MSU ini ialah universiti antarabangsa,” katanya.
Tambahnya, jika dilihat dari sudut pelajar, MSU mempunyai pelajar yang datang dari 70 negara. Malah, dalam masa dua tahun, MSU menyasarkan jumlah pelajar akan bertambah dan mungkin mencapai 100 negara.
Dalam masa sama, apabila melihat kerangka sebegitu, ia pastinya memenuhi kehendak penanda aras antarabangsa.
Dr. Mohd Shukri menjelaskan, sudah pastinya ia akan menarik minat dan MSU akan menjadi sasaran kepada pelajar-pelajar bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.
“Jika kita fokus kepada antarabangsa, maknanya sekarang kita ada offshore campuses ataupun kampus luar pesisir.
“Kita ada kampus luar pesisir di Bangalore, India sejak 20 tahun lepas, kita juga ada kampus di Colombo, Sri Lanka, di Jakarta, Indonesia, di China dan sebagainya,” jelasnya.

Terangnya, itu memberikan kerangka untuk mereka membina MSU menjadi hab untuk pendidikan dan bakat.
Dalam masa sama, MSU juga menyasarkan untuk menjadi ‘industry embedded university’. Ia juga merupakan satu keperluan untuk MSU bertaraf antarabangsa.
Mengulas lanjut, Dr. Mohd Shukri berkata, mereka juga bekerjasama dengan industri.
“Di MSU, semua fakulti dan sekolah ada industri masing-masing dan lebih daripada 2,000 syarikat bekerjasama dengan kita. Kerjasama ini melibatkan latihan industri, kajian dan sebagainya,” ujarnya.
Melalui komponen pengantarabangsaan, penyelidikan, program industri yang menyasarkan pelajar-pelajar MSU secara seimbang, holistik dan menyeluruh menjadi asas universiti dapat memenuhi penanda aras antarabangsa QS World University Rankings.
Dr. Mohd Shukri menjelaskan, apa yang penting MSU tidak menjadikan ranking sebagai matlamat utama.
“Matlamat utama universiti adalah pendidikan dan mereka menggunakan ranking sebagai penanda aras.
“Ini akan menjadikan kita berada pada landasan yang tepat dan benar supaya boleh menghasilkan graduan yang berkualiti,” jelasnya.
Dalam masa yang sama (MSU) juga telah menerima anugerah Malaysia’s Best University (TVET Education) bersempena anugerah Malaysia Education & TVET 2023 (META 2023).
Mengulas tentang pengiktirafan tersebut, Dr. Mohd Shukri berkata, TVET merupakan satu sektor atau segmen yang penting. Malah di MSU, mereka juga menyasarkan supaya ada komponen yang seimbang di mana mereka mempunyai lebih 200 program daripada diploma hinggalah doktor falsafah (PhD).
“Daripada 200 program ini, kita menyasarkan MSU menjadi universiti yang komprehensif di mana kita bukan sahaja ingin menghasilkan graduan yang terbaik untuk setiap program
“Tetapi kita juga menyasarkan graduan dalam bentuk kemahiran memandangkan dunia pendidikan tinggi sekarang telah berubah lanskapnya,” terangnya.
Kini laluan untuk pendidikan itu juga berbeza dan pelajar juga mempunyai minat yang berlainan.
Tidak semua orang mahu menjadi doktor atau jurutera dan setiap orang bakatnya berlainan. Di MSU, mereka mahu mengasuh semua bakat untuk memberi laluan kepada semua.
“
Mereka yang ingin menjadi doktor, jurutera, pereka fesyen, cef dan lain-lain boleh masuk MSU. Oleh kerana kepelbagaian kemasukan dan pencapaian, kita menyasarkan 50 peratus program yang kita tawarkan berbentuk TVET.
“Saya kira oleh kerana pelan yang kita buat dan kejayaan kita dalam bidang TVET ini membuatkan kita mendapat pengiktirafan tersebut,” katanya.














