fbpx
HOJLUND meledak dua gol termasuk jaringan kemenangan ketika United menewaskan Bodo di Old Trafford awal pagi semalam. - AFP

Liga Europa: Hadiah pertama Amorim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGENDALI baharu Manchester United, Ruben Amorim menghadiahkan kemenangan pertama selepas melalui dua perlawanan dan lebih manis ia dikecapi di laman sendiri, Old Trafford ketika menewaskan FK Bodo 3-2 pada aksi Liga Europa awal pagi semalam.

United mengulangi aksi menentang Ipswich Town apabila meledak gol awal menerusi Alejandro Garnacho seawal minit pertama, namun dikejutkan dengan dua gol dalam tempoh lima minit oleh pasukan lawan bermula minit ke-19 sebelum penggempur sensasi Rasmus Hojlund muncul wira dengan meledak gol tambahan untuk kemenangan tersebut.

Biarpun terpaksa berhempas pulas untuk meraih kemenangan berkenaan, Amorim mengakui pasukannya menunjukkan peningkatan terutama menerusi 73 peratus penguasaan permainan, malah mereka juga berjaya melakukan 20 percubaan dengan enam daripada adalah tepat ke gawang FK Bodo.

“Saya fikir ada peningkatkan berbanding perlawanan sebelum ini. Kami mengawal tempo, bermain dengan mentaliti menyerang dan mencipta peluang. Cuma, kami sepatutnya ‘membunuh’ perlawanan ini lebih awal sebelum mereka menghukum kami menerusi permainan transisi yang baik,” jelas Amorim.

Amorim turut melahirkan rasa terharu dengan sambutan yang diberikan peminat ketika aksi debutnya sebagai pengurus pasukan itu di laman keramat, malah menganggap beliau tidak layak lagi menerima penghormatan kerana belum memberikan apa-apa yang istimewa buat pasukan.

Dalam pada itu, selepas menghadiahkan kemenangan pertama buat pengurus baharu, Hojlund menganggap dia dan rakan sepasukan sudah dapat merasakan ada perubahan dalam corak permainan United, berbeza ketika berada di bawah bimbingan Erik ten Hag.

“Sudah tentu ia (corak permainan) memerlukan sedikit masa, tetapi secara jujur, kita semua sudah dapat melihat beberapa perubahan pada perlawanan hari ini (semalam). Corak permainan kami sudah semakin tersusun.

“Untuk kembali mendapatkan rentak selepas mengharungi tempoh sukar pada saingan awal musim ini bukanlah sesuatu yang mudah. Corak permainan seperti ini mengingatkan saya ketika bersama Atalanta dan ia sesuai dengan saya,” katanya.

Pemain antarabangsa Denmark itu turut menjelaskan, Amorim sentiasa memberikan kata-kata semangat kepadanya selain tidak meletakkan tekanan tinggi, sekali gus menjadi pemangkin untuknya mempamerkan aksi terbaik.

“Beliau beritahu saya supaya jangan bimbang dengan keadaan di bahagian belakang (pertahanan) kerana tugas saya adalah untuk menjaringkan gol. Beliau meminta saya untuk fokus pada bahagian serangan,” ujar Hojlund. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI