ISKANDAR PUTERI – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersedia untuk menggerakkan aset dan keanggotaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sokongan ke Kelantan dan Terengganu yang terjejas teruk akibat banjir ketika ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, langkah tersebut akan diambil memandangkan situasi banjir di negeri di Pantai Timur itu terlampau dinamik dan bantuan diperlukan amat mendesak.
“Bagi situasi banjir di Kelantan dan Terengganu, kita akan menggerakkan kekuatan penuh JBPM di negeri tersebut selain bersedia menggerakan bantuan dari luar negeri ini apabila keadaan semakin mendesak.
“Selain dua negeri Pantai Timur itu, tujuh negeri lain turut terkesan banjir ketika ini. Jadi, kita akan memantau situasi banjir di seluruh negara dengan lebih dekat bagi memastikan bantuan segera dapat digerakkan, katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Bersamamu Johor di Kompleks Sukan Educity, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE