fbpx
Suasana di kelab malam yang lazimnya dipenuhi anak muda. – Gambar hiasan

Pelajaran terabai sering berdisko di sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPERTI anak muda lain, seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Kim ini juga ingin merasai nikmat bersosial antaranya dengan mengunjungi kelab-kelab malam.

Namun, disebabkan dia membesar di sebuah kampung di pedalaman dia tidak berpeluang berbuat demikian.

“Saya terpengaruh melihat adegan remaja bersosial di kelab-kelab malam atau disko dalam drama atau filem yang disiarkan di televisyen dan ingin rasai pengalaman itu.

“Bagaimanapun di kampung saya tiada disko yang boleh saya kunjungi,” katanya.

Namun, apabila mendapat tawaran menyambung pengajian di sebuah institusi pengajian di utara Semenanjung, dia akhirnya dapat merasai pengalaman tersebut.

Ketika di pusat pengajian itu, dia mempunyai seorang kawan yang sering masuk ke pekan Danok, Thailand untuk berhibur di disko di situ.

Mengetahui akan aktiviti kawannya itu, Kim menyatakan hasrat untuk turut serta.

“Pada semester pertama, saya masih belum berkawan rapat dengannya dan hasilnya saya mampu meraih keputusan peperiksaan yang cemerlang.

“Namun, pada semester kedua saya mulai rapat dengannya dan dia menceritakan kegemarannya berhibur di Thailand.Mendengar ceritanya saya menjadi teruja ingin ikut serta,” ujar Kim.

Kim kemudian mengikuti kawannya itu untuk pergi berhibur di kelab malam di Danok.

Mulanya, dia berasa agak gementar kerana tidak pernah menjejakkan kaki ke disko.

Namun rakannya itu menenangkannya dan mengatakan kepadanya supaya tidak menunjukkan riak wajah gementar kerana di situ selamat daripada serbuan pihak berkuasa.

“Kali pertama saya masuk ke disko di negara orang dan saya amat teruja melihat apa yang ada di dalam itu. Melihat wanita yang separuh bogel menari amat mengasyikkan saya sehingga membuatkan saya ketagih untuk datang lagi,” jelasnya.

Ketika di disko tersebut, Kim mendapati rakannya itu juga tanpa rasa bersalah turut memesan minuman keras.

Kim tidak minum minuman keras itu kerana dia tidak biasa berbuat demikian.

Namun, setelah beberapa kali mengikuti rakannya itu ke disko, Kim juga terjebak dan dia akhirnya turut meneguk minuman keras.

“Saya tahu mengambil minuman keras itu dilarang di sisi agama tetapi kerana pengaruh rakan saya mencubanya.

Sesetengah rakyat Malaysia masuk ke sempadan Thailand untuk berhibur. – Gambar hiasan

“Selepas mengambil minuman keras itu saya lebih ‘enjoy’ untuk berhibur,” terangnya.

Bukan itu sahaja, pengaruh rakannya itu juga menyebabkan Kim terlibat dengan perjudian. Ini kerana rakannya turut membawanya masuk ke dalam kasino yang ada di pintu sempadan itu.

Dia mulanya hanya ingin mencuba-cuba berjudi, lama-kelamaan Kim menjadi ketagih sehingga menyebabkan dia berdepan masalah kewangan.

Tambah buruk, setelah tahu selok belok untuk berhibur di pekan sempadan itu, Kim kemudian berani untuk masuk seorang diri.

“Ada ketikanya rakan saya itu tidak mahu masuk kerana dia sibuk dengan urusan lain.

“Jadi, saya masuk berseorangan untuk berhibur di sana,” terangnya.

Kerana hal tersebut, pelajaran Kim mula terjejas dan keputusan peperiksaannya juga merosot. Sehingga di hujung semester, Kim tidak dapat meninggalkan tabiatnya untuk pergi berhibur di pekan Danok itu.

Malah dia lebih gemar pergi berseorangan kerana merasa lebih bebas untuk berhibur.

“Saya hilang fokus terhadap pengajian dan keputusan peperiksaan saya begitu teruk.

“Tetapi saya bernasib baik dapat juga menamatkan pengajian walaupun dengan keputusan yang agak teruk,” terangnya.

Mengenangkan kisah yang berlaku lebih 10 tahun lalu, Kim menyesal kerana lebih memilih untuk berhibur berbanding fokus terhadap pengajiannya.

Kesannya, dia sukar untuk mendapat pekerjaan dalam sektor awam dengan keputusan tersebut.

“Keputusan saya itu menyebabkan saya tidak melepasi syarat-syarat kelayakan untuk memohon dalam sektor awam.

“Saya melihat ada rakan-rakan pengajian yang dapat membina kerjaya dalam sektor awam dan itu menimbulkan rasa cemburu kepada mereka,” terangnya.

Tambah Kim, dengan keputusan pengajiannya itu dia kini hanya mampu bekerja biasa-biasa sahaja.

Terangnya, setelah tamat pengajian dia baru sedar akan kesilapan yang dilakukannya itu dan Kim kemudian mengambil keputusan untuk meninggalkan semua tabiat buruknya.

Dia juga menitipkan pesan buat generasi muda agar jangan sesekali mendekatkan diri dengan pusat-pusat hiburan. Ini kerana jika sudah ‘ketagih’ sukar untuk seseorang itu keluar daripada masalah itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN