fbpx
Konsep 'mix and match' seperti menyuaipadankan perabot sedia ada bagi menghasilkan satu konsep yang sedap mata memandang.

K2

Penuhi cita rasa tanpa terap konsep khusus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HIASAN dalaman dengan satu konsep khusus lazimnya menjadi pilihan untuk diterapkan pada sebuah kediaman.

Begitu pun, hiasan dalaman konsep mix and match seperti menyuaipadankan perabot sedia ada bagi menghasilkan satu konsep yang sedap mata memandang turut menjadi pilihan sesetengah pemilik kediaman.

Ini kerana, selain lebih menjimatkan kos, ia juga adakalanya lebih sesuai dengan gaya hidup penghuni.

Bagi pasangan suami isteri, Hayatul Fitrah Mohamad, 28, dan Luqman Fadhil Mohd. Makhtar, 32, biarpun mengimpikan kediaman dengan konsep farmhouse Inggeris, namun kediaman yang praktikal lebih sesuai dengan gaya hidup mereka yang mempunyai anak yang masih kecil.

“Rumah teres satu tingkat milik kami ini sebenarnya tiada konsep khusus dan hiasan dalamannya pula lebih kepada konsep mix and match mengikut cita rasa.

“Hal ini kerana ketika ini, saya mempunyai dua orang anak yang masih kecil dan menganggap kediaman ringkas sebegini lebih praktikal untuk gaya hidup kami.

“Namun, jika ditanya tentang konsep kediaman yang saya sukai, jawapannya adalah saya cukup sukakan konsep ala farmhouse Inggeris,” kata Hayatul.

Hayatul dan suami mula mendiami kediaman yang terletak di Kuantan, Pahang itu sejak setahun yang lalu, selepas dia melahirkan bayi keduanya.

Berkongsi tentang minat menghias rumah sendiri, Hayatul berkata, ia sudah lama timbul, khususnya selepas dia mulai mengikuti akaun dekorasi rumah di laman sosial Instagram.

“Sejak dahulu lagi, saya amat suka mengikuti Instagram hiasan rumah sama ada dari dalam mahupun luar negara.

“Apa yang saya lihat itu kemudiannya saya ambil dan terapkan di rumah saya, sesuai dengan kesesuaian ruang kediaman dan cita rasa,” katanya.

Saat kaki melangkah masuk ke kediaman seluas 1,000 kaki persegi itu, rona putih dengan cahaya lampu hangat mendominasi ruang tamu kediaman.

Susun atur pada satu sudut kediaman yang kemas.

Hayatul memilih sofa rona kelabu cair pada ruangan itu yang dipadankan dengan permaidani ringkas corak abstrak.

Hasilnya, ruang tamunya nampak selesa, luas dan tidak sarat, sesuai buat seisi keluarga bersantai.

Hayatul menyifatkan ruang tamu itu juga sebagai ruang paling disukainya pada kediaman tersebut memandangkan dia dan keluarganya paling banyak meluangkan masa di situ.

Ruang makan keluarga pula dihias cukup ringkas dengan menempatkan meja makan kecil daripada rona putih yang dipadankan dengan kerusi makan rona sama.

Bagi ruang dapur pula, kabinet serba putih menjadi pilihan, sekali gus menjadikan dapur nampak kemas dan luas.

Penggunaan beberapa perkakas dapur daripada rona merah jambu pula menyerlahkan sisi feminin pada ruangan itu, sekali gus menyuntik suasana yang ceria.

Berkongsi tentang kos dekorasi, Hayatul memberitahu dia membelanjakan sekitar RM50,000 bagi proses pengubahsuaian dapur dan juga membeli perabot kediaman.

“Saya akui paling banyak membelanjakan wang untuk bahagian dapur, khususnya untuk menyiapkan kabinet dapur.

“Bahkan, sebelum berpindah masuk ke rumah ini, saya memastikan bahagian dapur siap sepenuhnya sebelum kami bersedia berpindah masuk.

“Bagi barangan lain pula, kebanyakannya dibeli secara online menerusi pelbagai aplikasi,” katanya.

Ketika ini, Hayatul dan suami cukup berpuas hati dengan konsep kediaman yang cuba ditonjolkan.

Namun, ibu kepada dua orang cahaya mata itu berhasrat untuk melakukan beberapa penambahbaikan seperti membeli kabinet baharu untuk televisyen dan juga menambah spc flooring pada kediaman itu.

“Namun, memandangkan kami masih selesa dengan keadaan kediaman ketika ini, maka kami tidaklah terburu-buru untuk melaksanakannya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN