PANDEMIK Covid-19 yang melanda negara bermula Januari 2020 ternyata mendatangkan 1,001 dugaan terhadap rakyat negara ini.
Bukanlah mudah berhadapan dengan wabak yang berasal dari Wuhan, China itu kerana impaknya terhadap ekonomi mengakibatkan ramai dalam kalangan rakyat Malaysia kehilangan sumber pendapatan.
Bagaimanapun, situasi yang sukar itu telah membuka haluan baharu bagi Nur Mazaya Mohd. Shazari, 27, yang berasal dari Sitiawan, Perak.
Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Makanan (Perkhidmatan & Makanan) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tersebut, dia ketika itu sepatutnya menjalani latihan industri dalam bidang berkaitan.
Begitupun ujarnya, pandemik membuatkan hasratnya untuk menimba pengalaman dari sebuah syarikat di Kuchai Lama, Kuala Lumpur terpaksa dilupakan.
“Saya terpaksa pulang ke kampung halaman pada Jun 2020, namun semangat untuk bekerja dalam bidang perkhidmatan makanan masih belum luntur.
“Beberapa bulan selepas pulang ke kampung, terdapat sebuah syarikat di Kuala Lumpur yang menawarkan pekerjaan namun ia terpaksa ditolak kerana tidak dapat merentas sempadan akibat Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Menurut Nur Mazaya, pada 2021, dia memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual biskut serta brownies di bawah jenama MS Bakes.
Ujarnya, perniagaan itu bagaimanapun tidak dapat bertahan lama kerana dirinya kekurangan pengalaman, namun pada masa sama dia mula melakukan kajian dan pembangunan (R&D) terhadap penghasilan kek terutamanya kek mentega.
“Akhirnya pada Februari 2022, saya menjenamakan semula perniagaan ini kepada spatulavanilla dengan produk utama kami ialah kek mentega.
“Alhamdulillah, sambutan terhadap kek yang saya hasilkan begitu menggalakkan dan ia menjadi pembakar semangat untuk saya terus bergiat aktif dalam bidang pembuatan makanan,” katanya.
Nur Mazaya berkata, kaedah utama penjualan produk spatulavanilla ialah menerusi dalam talian dengan majoriti pelanggannya terletak di kawasan Lembah Klang serta Johor.
Pada masa sama, ujarnya, dia berasa terkejut apabila keknya tular di media sosial pada Mei 2022 sehingga mencecah lebih sejuta tontonan.
“Saya hanya bekerja sendiri, jadi semua terpaksa dilakukan berseorangan daripada membancuh adunan kek sehinggalah pemasaran.

“Semua video yang dimuat naik di media sosial seperti TikTok saya hasilkan sendiri. Banyak juga kandungan berkaitan makanan yang menjadi rujukan kerana saya mahu menghasilkan video beridentitikan spatulavanilla,” katanya.
Tambah Nur Mazaya, dia ketika ini menggunakan ruangan stor di rumahnya yang telah diubah suai sebagai dapur sebagai tempat kerja utama, namun tidak menolak kemungkinan mendapatkan ruangan bekerja sendiri di lokasi bersesuaian.
Katanya, dia juga menyimpan hasrat untuk menggaji pekerja suatu hari nanti apabila tiba masa yang tepat.
“Ketika spatulavanilla bermula, saya hanya mampu menghasilkan 10 biji kek seminggu namun sewaktu musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, jumlah itu meningkat sehingga 100 biji kek.
“Secara purata ketika ini, jumlah tempahan kek diterima adalah antara 40 hingga 50 biji kek. Harga jualan produk spatulavanilla ialah RM25 bagi half loaf dan RM50 (7 inci),” katanya.
Ujarnya, spatulavanilla ketika ini menawarkan kira-kira lapan perisa kek mentega dengan perisa asli, vanila coklat serta coklat oren popular dalam kalangan pelanggannya.