SEBUT sahaja Porsche, sudah pasti terlintas di fikiran ialah kereta dalam kelas supercar yang berprestasi tinggi.
Selaras perkembangan kenderaan tenaga baharu, Porsche antara jenama kereta sport terawal menghasilkan kereta elektrik (EV) menerusi model Porsche Taycan yang dilancarkan pada tahun 2019.
Porsche Taycan walaupun ia yang dihasilkan bagi memberikan saingan kepada kereta premium EV tetapi ‘karakter’ Porsche yang gah dari segi kelajuan dan pengendalian masih ada dalam model elektrifikasi ini.
Baru-baru ini penulis bersama rakan-rakan media lain berpeluang memandu uji Taycan dari Kuala Lumpur ke Gambang, Pahang bagi merasai sendiri pengalaman pemanduan jalan bandar, lebuh raya serta jalan kampung.
Malah, dalam perjalanan pulang kami mendaki Genting Highlands bagi membuktikan kemampuan Taycan sebagai EV yang luar biasa.
Sime Darby Auto Performance (SDAP) sebagai pengimport sah Porsche Malaysia sejak 2010 telah menyediakan empat buah Taycan facelift terkini iaitu dua buah model asas Taycan, satu Taycan 4S dan satu Taycan 4S Cross Turismo bagi sesi pandu uji kali ini.
Bagi penulis, ini merupakan pengalaman pertama memandu Porsche yang mempunyai pengikutnya tersendiri dan ternyata memandu kereta ikonik jenama Jerman ini memberi ‘jiwa’ walaupun dijana kuasa elektrik.

Menjadikan pemanduan lebih realistik ialah kehadiran simulasi bunyi enjin dalam EV sport ini sehingga tanpa sedar penulis memecut mencecah hampir 200km/j dengan yakin.
Dari segi pengendalian, kepakaran Porsche tidak dapat dinafikan apabila penulis secara yakin dapat melalui selekoh lebuh raya dengan cengkaman stabil tanpa rasa ‘membuai’ dengan reka bentuk Taycan yang aerodinamik
Selain itu, memandu Taycan tidak ubah seperti memandu kenderaan konvensional enjin pembakaran dalaman (ICE) yang mana apabila pedal ditekan pecutannya selari.
Kuasa dibekalkan sangat responsif dan brek apabila ditekan berfungsi dengan kadar lancar tidak seperti EV lain yang terlalu mencengkam.
Penulis sempat memandu dua model. Pada awalnya penulis telah memandu uji model Taycan 4S dengan warna badan Crayon seperti warna kelabu melalui Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) yang mampu menghasilkan tork maksimum sehingga 710Nm.
Taycan 4S facelift terkini ini mampu melakukan pecutan dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 3.7 saat dan mencatat jarak gerak 643 kilometer (sebelum ini 510km) bagi pengecasan penuh.

Dari segi dimensi, ia berukuran 4,963mm panjang, 1,966mm lebar, 1,379 mm tinggi dengan ruang kargo berkapasiti 407 liter di bahagian bonet belakang, manakala depan 74 liter.
Varian ini datang dengan Performance Battery Plus iaitu bateri lithium ion yang mempunyai kapasiti 105kWh yang dapat meningkatkan kuasa kepada 440kW atau 598PS.
Manakala bagi model kedua yang dipandu, model asas Taycan pacuan roda belakang (RWD) 408PS kini boleh memecut dari pegun hingga 100km/j dalam masa 4.8 saat, iaitu 0.6 saat lebih pantas berbanding sebelum ini, sementara jarak geraknya meningkat menjadi 678km (sebelum ini 503km).
Ketika dalam perjalanan, di jalan kampung di Lanchang, penulis juga merasai pengalaman melalui kawasan banjir dan ciri suspensi yang boleh dilaraskan secara manual dalam Taycan memudahkan kenderaan melepasi paras air yang ada di jalan yang agak tinggi.
Situasi ini sebenarnya adalah perkara yang paling dikhuatiri oleh pemilik kenderaan elektrik kerana bateri terletak di bawah kenderaan yang boleh menyebabkan masalah teknikal berlaku.
Rangkaian Taycan baharu juga menampilkan sistem Pengurusan Suspensi Aktif Porsche (PASM) yang dipertingkat sebagai standard, dengan suspensi udara dua ruang dan teknologi peredam dua injap memastikan kenderaan itu kekal bersedia dengan ketepatan pemanduan luar biasa dan prestasi dinamik, sambil mengekalkan tahap keselesaan yang tinggi untuk pemandu dan penumpang.
Taycan baharu dengan keupayaan pengecasan 800 voltan turut menawarkan masa pengecasan pantas sehingga 320kW kini boleh mengecas daripada 10 peratus kepada 80 peratus dalam masa 18 minit sahaja.
Ini satu pencapaian mengagumkan dan praktikal bagi pengguna yang ingin menempuh jarak perjalanan jauh.
Kami turut mengecas EV ini di Stesen Pengecasan Berprestasi Tinggi (HPC) Shell Recharge di Hentian Rehat dan Rawat Temerloh.
Seterusnya, pemanduan Taycan dengan pendakian ke Genting Highlands menyerlahkan prestasi sedan sporty ini apabila dengan mudah mengharungi jalan curam secara pecutan lancar
Meninjau ruang kabin, tempat duduk pemandu dan penumpang juga agak selesa kerana menggunakan material kulit yang boleh diselaraskan dengan butang elektrik dan berbentuk semi bucket yang menonjolkan sebuah kenderaan sport sebenar.
Untuk pasaran Malaysia, model asas Taycan dijual pada harga RM575,000, Taycan 4S RM675,000 dan Taycan 4S Cross Turismo RM700,000 di atas jalan raya tanpa insurans.
Secara keseluruhannya, Porsche berjaya membuktikan model EV Taycan ini mampu memberikan prestasi luar biasa. Ia ‘supercar senyap’ yang berbaloi untuk dimiliki kerana DNA Porsche masih terserlah dan pemanduannya akan memberikan rasa yang sama.














