HULU TERENGGANU – Seorang peraih buah duku mampu meraih pendapatan mencecah ratusan ribu ringgit setiap kali musim buah tersebut.
Razali Mat Shah, 63, berkata, dia menawarkan pusat pengumpulan buah duku kepada pekebun sekitar daerah ini sejak 30 tahun lalu.
Datuk kepada 11 cucu tersebut berkata, dia mampu mengumpul purata 100 tan buah duku setiap musim.
“Setiap kali musim buah duku bermula bulan Ogos saban tahun, halaman rumah saya bagaikan pesta dikerumuni ramai pekebun.
“Macam-macam ragam dapat dilihat, sebahagian datang dengan kenderaan pacuan empat roda, kereta, motosikal mahupun cuma berjalan kali memikul guni berisi buah duku,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kemat di sini semalam.
Razali berkata, dia menerima buah duku dibawa tanpa mengira kuantitinya pada waktu petang selepas dipetik sebelah pagi.
“Bagi musim kali ini, harga buah duku ditetapkan pada kadar antara RM1.60 hingga RM2 sekilogram mengikut gred. Dahulu harga pernah menjunam ke 50 sen ekoran berlaku lambakan,” katanya.
Razali berkata, dia akan mengasingkan buah mengikut gred dan kualiti sebelum menjualnya kepada pemborong sebelum dibawa ke Lembah Klang dan Perak.
“Kutipan hasil buah duku sedang rancak dan dijangka boleh berlarutan sehingga bulan depan,” katanya.














