fbpx
Ramli menasihatkan anak-anak supaya sentiasa mengingatkan ibu bapa mengenai taktik terbaharu bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. Foto oleh MOHD FARIZWAN HASBULLAH

‘Scammer’ makin melampau, sudah mula datang rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sindiket pe­nipuan Macau scam dilihat semakin berani apabila bersemuka dengan mangsa berbanding berhubung melalui panggilan telefon seperti dilaporkan sebelum ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, taktik terbaharu itu sangat berisiko bagi warga emas khususnya mereka yang tinggal seorang diri.

Katanya, ancaman seperti bunuh, rompak dan samun mungkin dihadapi mangsa yang secara tidak sengaja mendedahkan butiran peribadi kepada scammer.

“Baru-baru ini polis menerima satu kes yang mana scammer bersemuka dengan mangsa warga emas sehingga mengakibatkan kerugian lebih RM600,000.

“Suspek memberi arahan kepada mangsa menerusi panggilan telefon sebelum bersemuka untuk tujuan penipuan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ramli memberitahu, pada pertemuan itu, mangsa diminta supaya menyerahkan barangan kemas kepada ahli sindiket scammer yang datang ke rumahnya.

Ramli tidak menolak kemungkinan taktik sama akan digunakan oleh penjenayah selepas ini.

“Sekiranya taktik itu berhasil, saya percaya ia akan digunakan untuk menipu mangsa lain. Empat hingga lima orang (scammer) naik kereta datang ke rumah mangsa. Kita bimbang daripada penipuan online, mungkin boleh jadi jenayah,” katanya.

Jelas beliau, status kesihatan mental mangsa khususnya warga emas juga akan merosot akibat trauma lebih-lebih lagi melibatkan wang persaraan.

“Mereka (warga emas) patuh undang-undang, jadi apabila terima panggilan dakwa terlibat salah laku atau jenayah mereka jadi panik. Jika mangsa berusia 50 tahun dan usianya boleh mengjangkau 70 tahun, makna­nya 20 tahun mereka trauma akibat ditipu,” katanya.

Sehubungan itu, Ramli menasihatkan orang ramai khusus­nya anak-anak supaya mengi­ngatkan ibu bapa supaya berhati-hati sekiranya menerima panggilan daripada individu yang mendakwa pihak berkuasa.

“Data dan maklumat peribadi begitu mudah diperoleh sekarang termasuk ada yang dijual di dark web atau pada bungkusan.

“Sebagai anak, kita perlu risau ibu bapa ditinggalkan di rumah dan usaha terbaik boleh dilakukan adalah menasihat dan mengingatkan mereka tentang peni­puan online,” katanya.

Kosmo! sebelum ini seorang wanita berusia 72 tahun kerugian RM670,994 selepas diperdaya sindiket penipuan yang me­nyamar daripada unit khidmat pelanggan di Putrajaya dan polis pada 20 September lalu.

Mangsa dimaklumkan nombor telefon miliknya disalahgunakan bagi kes jenayah siber. Mangsa diarah untuk mengumpulkan semua wang simpanannya ke dalam satu akaun bank.

Mangsa diarahkan supaya menyerahkan semua barang kemas dan jongkong emas kepada individu yang datang mengambilnya di rumah warga emas tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN