fbpx
JOHN menunjukkan koleksi kain limarnya dan fabrik itu secara lazimnya didapati dalam warna merah.

Kain limar, tekstil warisan kian dilupakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAAT pakaian rekaannya dipersembahkan di atas pentas peragaan, tidak tergambar rasa bangga dalam diri lelaki itu apabila ilham dan idea kreatif busananya dapat direalisasikan.

Bukan sekadar menghasilkan baju yang memukau mata memandang, pereka fesyen, Salikin Sidek, 60, turut berasa puas kerana perjuangannya untuk memartabatkan fabrik Melayu turut terlaksana apabila dapat mempamerkan sebagai elemen rekaannya.

Menurutnya yang juga ahli jawatankuasa Pencinta Tekstil Malaysia (Citra), dalam kepelbagaian fabrik Nusantara, dia amat berbesar hati dapat mengetengahkan kembali fabrik warisan yang semakin dilupakan iaitu kain limar.

“Elemen Melayu dan Nusantara sudah sebati dan menjadi signatur rekaan saya, walaupun ramai pereka lebih menjurus kepada penggunaan fabrik serta rekaan moden.

“Namun begitu, saya masih kekal memperjuangkan jati diri kita sebagai orang Melayu dengan menampilkan fabrik warisan dan antaranya adalah kain limar yang hari ini ramai anak muda tidak tahu akan kewujudannya,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Jelasnya, kain limar merupakan antara fabrik kesukaannya kerana merupakan fabrik warisan yang memiliki nilai tinggi ekoran kehalusan cara pembuatan, selain memerlukan ketelitian dalam penghasilan.

Katanya lagi, kewujudan kain limar sudah ada sejak ratusan tahun dahulu dan merupakan fabrik yang berkait dengan sejarah kesultanan hinggalah hubungan antara kerajaan-kerajaan dunia Melayu suatu ketika dahulu.

Jelasnya, melewati peralihan zaman, kewujudan kain limar seolah dilupakan, malah di Malaysia sendiri tidak ramai yang tahu cara untuk menghasilkan fabrik tersebut.

“Hari ini tidak ramai yang tahu menghasilkan kain limar, jika ada hanya segelintir dan mungkin pembuatannya tidak persis orang dulu-dulu.

“Biasanya kain limar ini kalau tidak di muzium, ia dimiliki oleh pengumpul tekstil dan saya juga pernah dapatkan fabrik tersebut yang berusia kira-kira 150 tahun daripada seorang pengumpul teksil di Jogjakarta, Indonesia pada 10 tahun lalu,” ujarnya yang sanggup berbelanja hingga puluhan ribu ringgit untuk memiliki koleksi limar sendiri.

Kain limar atau merupakan fabrik tenunan yang menggunakan teknik ikat pakan (ikat limar) dipercayai wujud hasil buatan kerajaan Langkasuka pada abad ke-17 hingga abad ke-19.

Fabrik yang dikatakan sering dipakai oleh Che Siti Wan Kembang ini merupakan fabrik Melayu kedua tertua selepas kain pelangi dan diakui sebagai tekstil tradisi tercantik di dunia.

Di Malaysia, kain ini suatu ketika dahulu banyak dihasilkan di kawasan Pantai Timur terutama di Kelantan dan Terengganu.

Tekstil ini awalnya dikatakan fabrik golongan istana dan bangsawan kerana nilainya yang tinggi dan menjadi simbol status kekayaan serta harta.

Pembuatan kain limar bermula dengan benang diikat pada beberapa bahagian kemudian diwarnakan ikut bahagian yang mana akan menjadi panduan untuk penghasilan corak semasa tenunan dan sering dibuat dalam warna merah.

Terdapat pebagai jenis kain limar yang pernah dihasilkan iaitu kain limar biasa, kain limar bersulam, kain limar pelangi, kain limar bersongket, kain limar telepuk, kain limar tenggarun, kain limar berayat dan kain limar ikat loseng.

Menurut seorang pengkaji dan pengumpul kain limar, John Ang, perbezaan antara jenis-jenis kain limar ini adalah corak yang terdapat pada kain tersebut yang berkait dengan elemen Melayu pada masa itu.

Kongsinya lagi, kewujudan kain limar juga banyak berkait dengan sejarah yang masih belum dirungkai secara mendalam terutama tentang kain limar di Malaysia.

“Kalau kita lihat pada jenis-jenis kain limar yang ada, kita dapat lihat perkaitan sejarah terutama dalam dunia Melayu suatu ketika dahulu, malah sebenarnya setiap negara yang pernah berada dalam wilayah Nusantara termasuk sebahagian di Asia Tenggara mempunyai kain limar sendiri.

Orang ramai tertarik dengan keindahan kain limar ketika mengunjungi Muzium UM.

“Dari coraknya sahaja kita akan dapat lihat ada banyak elemen yang sama antara taburan kain limar di beberapa negara seperti di Indonesia, Malaysia, Kemboja, Thailand dan Laos,” jelas lelaki kelahiran Amerika Syarikat yang kini menetap di Malaysia itu ketika ditemui K2 di Kuala Lumpur.

Tambahnya yang mempunyai kira-kira 250 koleksi kain limar dari beberapa negara, setiap negara yang memiliki kain limar mempunyai kaitan dari segi sejarah sama ada ia telah tersebar daripada budaya persembahan hadiah antara raja-raja dan pemimpin atau pengaruh dagangan fabrik dari China dan India.

Terdapat juga maklumat yang mengatakan bahawa kain limar berkait rapat dengan kain cindai dari India berikutan cara penghasilan dan corak yang digunakan hampir serupa.

Menurutnya, kain limar lazimnya berwarna merah kerana warna itu berkait dengan sumber yang mudah didapati pada masa dahulu yang mana warna itu didapati daripada sejenis ulat.

Jelasnya, dari segi sejarah, dapat dilihat mengapa kain limar dianggap bernilai, malah ada juga cerita yang mengatakan fabrik ini merupakan azimat kepada keberuntungan dan nasib baik oleh orang yang memilikinya.

Katanya, sepanjang mengkaji kain limar, dia juga menyedari bahawa tidak ramai generasi muda yang tahu tenang fabrik warisan ini termasuk di Malaysia.

Hal ini berlaku berikutan pembuatan kain ini dipercayai telah lenyap daripada diusahakan oleh penenun terutama di Pantai Timur setelah tercetusnya Perang Dunia Kedua dan hanya segelintir yang mewarisinya.

“Di Malaysia tidak ramai yang tahu hasilkan kain limar, berbeza dengan Indonesia yang mempunyai komuniti penenun khusus buat fabrik berkenaan.

“Selain mengumpul kain limar, saya juga bakal mengadakan pameran khusus untuk fabrik tersebut sebagai usaha untuk memperkenalkan kembali tekstil warisan itu kepada generasi muda masa kini agar tidak hilang di arus kemodenan,” kongsinya yang bakal mengadakan pameran kain limar di Semua House, Kuala Lumpur bermula 19 Oktober hingga 15 Disember ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN