DALAM usaha memberikan sistem saraan yang adil kepada penjawat awam di semua peringkat, kerajaan bakal melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang diguna pakai sebelum ini.
Malah, SSPA merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk memperbaharui dan meningkatkan kualiti perkhidmatan awam. Penjawat awam mempunyai tempoh opsyen selama 40 hari mulai 21 Oktober sehingga 30 November 2024 sama ada kekal di bawah SSM atau memilih SSPA .
Bagi membincangkan hal berkaitan SSPA, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr. Adnan Mat baru-baru ini.
KOSMO!AHAD: Bermula 1 Disember 2024, Sistem Saraan Malaysia (SSM) akan digantikan kepada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA). Para penjawat awam boleh memilih sama ada untuk kekal di bawah SSM atau memilih SSPA. Secara dasarnya, apakah pandangan Datuk mengenai langkah ini?
DATUK DR. ADNAN: Seperti semua sedia maklum, semua pegawai awam mempunyai tempoh opsyen selama 40 hari bermula 21 Oktober hingga 30 November ini untuk memilih sama ada SSPA atau kekal dengan SSM, sebelum ia berkuat kuasa 1 Disember depan.
Ketika ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang dan telah memulakan sesi libat urus dengan semua kementerian dan jabatan bagi membolehkan pengurus sumber manusia mendapat pencerahan sewajarnya mengenai pelaksanaan dan perincian SSPA seperti pelarasan gaji dan urusan perkhidmatan.
Selain itu, JPA telah menerbitkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 mengenai Pelaksanaan SSPA Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang boleh diakses secara terus di laman web, sspa.jpa.gov.my.
Tempoh 40 hari yang ditetapkan oleh JPA sebenarnya tidaklah terlalu singkat kerana terdapat ruang dan masa yang diberikan untuk setiap kementerian dan jabatan memberikan penerangan jelas mengenai pelaksanaan SSPA sebelum semua pegawai awam memuktamadkan keputusan masing-masing bermula 21 Oktober depan.
Cuepacs berharap semua kementerian dan jabatan dapat mengadakan sesi penerangan lebih berkesan kepada semua kakitangan.
Cuepacs juga menyeru semua penjawat awam supaya tidak membuat sebarang andaian sebelum mendapat maklumat jelas mengenai SSPA daripada pengurus sumber manusia masing-masing.
Andaian atau maklumat yang tidak tepat boleh menjejaskan keberkesanan pelaksanaan SSPA.
Secara asasnya, boleh Datuk ulas perbezaan antara SSM dan SSPA bagi memudahkan para penjawat awam membuat pilihan?
SSPA merupakan inisiatif terbaik yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk memperbaharui dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam tanpa meninggalkan soal kebajikan mereka.
Seperti sedia maklum, cabaran semasa yang dihadapi sebelum ini adalah pendapatan boleh guna penjawat awam tidak seiring dengan peningkatan kos sara hidup semasa.
Di pihak kerajaan pula, mereka mempunyai kekangan dalam menanggung kos fiskal bagi pembayaran emolumen dan faedah persaraan penjawat awam yang meningkat.
Selain itu, terdapat keperluan untuk meningkatkan produktiviti perkhidmatan awam selari dengan keperluan semasa.
Sekiranya perkhidmatan awam terus kekal menggunakan skim perkhidmatan SSM, sudah pasti cabaran semasa ini tidak akan berkesudahan dan tidak dapat diselesaikan dengan berkesan.
SSPA disediakan bersandarkan kepada falsafah ganjaran menyeluruh (total rewards).
Kita dapat lihat terdapat pelbagai penambahbaikan yang dibawa oleh SSPA seperti pelarasan gaji dan pencen, Jadual Gaji Maksimum-Minimum (JGMM) baharu, penambahbaikan dalam pemberian elaun, kemudahan, pemberian pengiktirafan serta struktur skim perkhidmatan.
Sebenarnya, apakah objektif utama pelaksanaan SSPA ini. Adakah hanya bertujan meningkatkan produktiviti penjawat awam?
Pelaksanaan SSPA ini tidak hanya berpaksikan kepada satu bidang tertentu sahaja kerana ia merangkumi beberapa penekanan.
Seperti yang saya terangkan sebelum ini, terdapat beberapa cabaran semasa yang dihadapi oleh perkhidmatan awam di bawah SSM.
Misalnya, pendapatan boleh guna penjawat awam yang dilihat tidak seiring dengan peningkatan kos sara hidup semasa, manakala di pihak kerajaan pula mempunyai kekangan dalam menanggung fiskal bagi pembayaran emolumen serta faedah persaraan penjawat awam yang meningkat.
Secara ringkasnya, terdapat empat objektif utama pelaksanaan SSPA iaitu memastikan penjawat awam berprestasi tinggi dan berintegriti diberikan pengiktirafan, meningkatkan kecekapan serta struktur organisasi ke arah memantapkan penyampaian, mengoptimumkan sumber manusia serta kewangan negara.
Bagi penjawat awam yang sering mendapat anugerah perkhidmatan cemerlang, mereka tertarik dengan SSPA. Ini kerana, golongan itu mempunyai potensi untuk menerima jawatan lebih tinggi dan gaji lumayan. Adakah naratif seperti ini benar?
SSPA yang dirangka kerajaan bukan sekadar untuk membawa pembaharuan dan peningkatan dalam pendapatan boleh guna yang akan dinikmati penjawat awam, tetapi ia merupakan satu sistem saraan berteraskan prestasi.
Sudah tentu SSPA akan memberi manfaat kepada penjawat awam yang cemerlang dalam menyampaikan perkhidmatan, manakala mereka yang tidak menunjukkan prestasi memuaskan tidak akan menerima penghargaan sama.
Cuepacs yakin langkah ini akan memberikan motivasi kepada semua penjawat awam untuk meningkatkan prestasi kerja supaya sentiasa relevan dengan keperluan semasa.
Satu lagi persoalan, sekiranya seseorang itu menukar daripada SSM ke SSPA, adakah skim pencen pilihannya masih terpakai atau akan bertukar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)?
Andaian yang mengatakan bahawa penjawat awam memilih SSPA akan mengakibatkan skim pencen mereka terbatal dan bertukar kepada skim persaraan melalui caruman KWSP adalah tidak benar.
Itu tidak tepat kerana semua pegawai awam berstatus tetap dan berpencen yang memilih SSPA bukan sahaja tidak terjejas, malah akan menerima pelarasan gaji.
Jika kita rujuk kepada perenggan 133, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 berkaitan Pelaksanaan SSPA menyatakan seperti berikut: ‘Persaraan pegawai yang telah diberikan taraf berpencen dan pegawai di bawah skim Kumpulan KWSP)adalah tertakluk kepada Akta Pencen 1980 [Akta 227].
Bagi pegawai di bawah skim pencen, faedah persaraan pegawai tersebut adalah tertakluk kepada Akta 227, manakala pegawai di bawah skim KWSP, faedah persaraan pegawai tersebut adalah tertakluk kepada Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 [Akta 452]’.
Perenggan tersebut dengan jelas menyatakan bahawa bagi penjawat awam yang telah memilih atau berada dalam Skim Pencen dan memilih SSPA, faedah persaraan mereka adalah tertakluk kepada akta pencen dan undang-undang pencen yang sedang berkuat kuasa.
Tiada apa-apa perubahan pun yang akan berlaku atau menjejaskan Skim Pencen mereka.
Baru-baru ini, JPA memaklumkan, penjawat awam yang menolak SSPA tidak akan menerima pelarasan gaji seperti diumumkan sebelum ini. Adakah langkah ini dilihat wajar?
Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 yang dikeluarkan JPA, penjawat awam yang menolak opsyen SSPA tidak layak menerima pelarasan gaji yang akan dilaksanakan secara berperingkat pada 1 Disember tahun ini bagi Fasa 1 dan 1 Januari 2026 bagi Fasa 2.
Pekeliling itu juga memaklumkan mereka yang turut tidak layak menerima pelarasan gaji adalah pegawai yang tidak lagi berkhidmat pada 1 Disember 2024 atau 1 Januari 2026.
Cuepacs menyokong sepenuhnya skim SSPA dan menyeru agar semua penjawat awam menandatangani opsyen SSPA untuk menikmati faedah yang disediakan dalam skim ini.
Opsyen SSPA ini adalah peluang baik dan mesti diambil oleh semua penjawat awam kerana ia tidak akan mengurangkan faedah sedia ada.
Jika kita hendak menikmati faedah yang ditawarkan dalam skim SSPA seperti kenaikan gaji, sudah seharusnya kita perlu berada dalam skim tersebut.
Tidak adil sekiranya kita mahu menikmati faedah dalam SSPA tetapi tetap berada dalam skim SSM.
Ketika ini, ramai penjawat awam berada dalam dilema untuk membuat pilihan. Sekiranya, mereka ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini, siapakah yang patut mereka rujuk bagi mendapatkan maklumat sahih?
Pesan Cuepacs kepada semua penjawat awam adalah berhenti merujuk atau mendapatkan maklumat atau pendapat daripada media sosial.
Langkah ini sebenarnya tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya mungkin menyebabkan kekeliruan disebabkan maklumat yang tidak tepat diterima daripada individu yang salah.
Rujukan boleh dibuat secara terus melalui JPA sendiri menerusi pelbagai platform yang disediakan seperti media sosial rasmi, laman web dan berkunjung terus ke kaunter JPA.
Penjawat awam juga boleh merujuk kepada pengurus sumber manusia masing-masing.
Ketika ini, JPA telah dan sedang melakukan sesi libat urus dengan semua kementerian dan jabatan bagi membolehkan pengurus sumber manusia mendapat pencerahan sewajarnya mengenai pelaksanaan dan perincian SSPA seperti pelarasan gaji dan urusan perkhidmatan.
Pengurus sumber manusia di kementerian dan jabatan masing-masing adalah sumber rujukan paling dekat untuk penjawat awam mengetah















