fbpx
Pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat pelbagai spesies burung di TBKL, Kuala Lumpur.

Selami dunia burung di tengah ibu kota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KICAUAN burung Indian ring-necked parakeets menyambut kedatangan pengunjung sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke Taman Burung Kuala Lumpur (TBKL).

Ruang tersebut diberi nama, The Love Aviary sempena burung spesies nuri yang bersifat monogamus dan sering kelihatan berdua-duan.

Selain itu, kawasan tersebut turut menempatkan spesies burung nuri lain seperti budgerigars, sun conures dan cockatiels.

Melangkah ke zon satu, penulis terpesona melihat pelbagai spesies burung bebas terbang di ruang udara yang ‘berbumbungkan’ jaring.

Paling unik, kehadiran sekumpulan bangau paruh kuning yang terbang antara pokok dan bumbung bangunan di dalam ruang tersebut.

Tidak dilupakan, saat merak biru India jantan memperlihatkan ekornya yang megah dan berwarna-warni kepada para pengunjung.

Di seberang jambatan, terletak habitat beberapa burung yang sukar dijumpai seperti merpati nicobar, black oriole hitam dan Eurasian jay.

Kawasan yang dikategorikan sebagai zon dua itu menempatkan burung unta serta menjadi ruang kegemaran merak berjalan-jalan.

Menurut pengurus bahagian perhubungan awam TBKL, Taufik Mohd. Sharif, keadaan burung di situ sentiasa dipantau dan habitatnya dijaga.

“Kami mengamalkan penjagaan rutin dari semasa ke semasa oleh kurator dan pegawai veterinar. Ini termasuk pemeriksaan kesihatan burung.

“Selain itu, kami menyediakan tempat bersesuaian mengikut keperluan burung seperti habitat aslinya,” katanya.

Untuk pengetahuan, TBKL merupakan taman burung berbumbung terbesar di dunia yang menempatkan lebih 3,000 burung daripada 200 spesies.

MeraK merupakan salah satu tarikan di TBKL.

Di zon tiga atau Hornbill Park, pengunjung berpeluang melihat landskap indah yang menggambarkan hutan hujan di Malaysia.

Ruang dipenuhi pokok setinggi bangunan 10 tingkat itu menempatkan burung enggang Rhinoceros iaitu spesies enggang terbesar dunia.

Kawasan tersebut juga menempatkan spesies enggang lain yang lebih kecil seperti Asian black, Northern red-billed dan Southern pied.

Tidak jauh dari tempat berkenaan adalah zon empat yang menempatkan 20 spesies nuri seperti cockatoos, lories dan parakeets.

Di zon tersebut, pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat beberapa spesies burung nuri, selain memberinya makan dan minum.

Jelas Taufik, pengunjung dibenarkan memberi makan dan minum kepada burung, namun dengan menggunakan sumber disediakan pihaknya.

“Larangan memberi sebarangan makanan dari luar adalah untuk mengelakkan kesan buruk terhadap kesihatan burung.

“Burung-burung ini mempunyai diet khas mengikut nutrien yang diperlukan dan berbeza untuk setiap spesies,” katanya.

Pada zon itu juga, terdapat spesies burung terbesar yang tidak boleh terbang seperti burung unta struthio camelus, kasuari selatan dan emu dromaius novaehollandiae.

Pada bahagian akhir, pengunjung boleh mengunjungi beberapa lagi lokasi seperti Oriental Bird Aviary, The Amphitheatre dan Waterfall Aviary.

Untuk makluman, TBKL dibuka pada setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN