fbpx
Wajah dan keletah Moo Deng disifatkan netizen sebagai comel.

Populariti Moo Deng, anak badak air pygmy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELIHAT keletahnya mengunyah tanpa gigi saja sudah muncuit hati dan menarik perhatian ramai sehingga menjadi bintang media sosial di usia cuma dua bulan.

Menjadi popular sekelip mata, seekor bayi badak air kerdil (pygmy hippopotamus) di Zoo Terbuka Khao Kheow, Chonburi, Thailand terkenal sejak penjaganya, Atthapon

Nundee mula memuat naik video tentang kegiatan haiwan kecil itu sehari-hari.

Video yang dimuat naik termasuk tidur siang, bergerak di sekitar kandang dan menggigit lutut penjaganya semasa disiram disifatkan netizen sebagai comel.

Kongsi Nundee, dia tidak pernah menyangka bahawa perkongsiannya itu boleh meraih perhatian ramai pihak.

“Ia di luar jangkaan, niat saya hanya mahu orang ramai mengenalinya, melawatnya atau menontonnya dalam talian dan meninggalkan komen yang menyeronokkan.

“Saya tidak akan pernah terfikir perkara ini akan terjadi, malah saya juga tidak pernah merancang untuk membuat populariti Moo Deng hingga tahap ini,” katanya kepada media Thailand. Agensi berita antarabangsa AFP turut didapati merakamkan aksi-aksi Moo Deng.

Dikenali dengan nama Moo Deng, popularitinya juga telah menjadikannya sebagai duta pelbagai jenama di Thailand termasuk produk kosmetik.

Tidak hanya itu, anak badak air betina ini juga telah membawa peningkatan dalam bilangan pelawat ke zoo berkenaan, namun hal itu mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatannya terutama terdapat segelintir pengunjung tidak bertanggungjawab.

Menurut pengarah zoo tersebut, Narongwit Chodchoi, disebabkan ramai yang mahu melihat Moo Deng di hadapan mata, ada pengunjung yang bertindak mencurahkan air, malah melemparkan objek dan makanan ke dalam kandang.

“Tingkah laku ini bukan saja kejam tetapi juga berbahaya dan kita mesti lindungi haiwan ini serta memastikannya mempunyai persekitaran yang selamat dan selesa.

“Oleh itu, pihak zoo memutuskan bahawa setiap pelawat boleh melihat Moo Deng selama lima minit sahaja pada hari Sabtu dan Ahad, malah tindakan tegas akan dikenakan kepada pihak yang mengganggu haiwan kesayangan ramai itu,” katanya kepada Nation Thailand.

Badak air kerdil atau pygmy merupakan spesies terancam dengan jumlah haiwan matang hanya kira-kira 2,000 hingga 2,500 ekor setakat 2015, berdasarkan rekod Senarai

Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

Menurut Yayasan Pygmy Hippo, bilangan spesies ini turut dilaporkan terus berkurangan kerana diburu untuk dagingnya dan habitatnya juga dimusnahkan.

Haiwan ini juga lebih kecil daripada badak air biasa dan ditemui terutamanya di Afrika Barat misalnya negara Liberia, Sierra Leone, Guinea dan Ivory Coast.

Moo Deng dilahirkan pada 10 Julai lalu dan merupakan anak kepada badak air betina, Jona, berusia 25 tahun dan bapanya, Tony, berusia 24 tahun.

Berdasarkan perkongsian pihak zoo, Moo Deng merupakan bayi badak air pygmy ketujuh yang dilahirkan oleh ibu bapanya di zoo berkenaan.

Anak badak air kerdil, Moo Deng sentiasa menjadi tumpuan orang ramai yang datang ke zoo.

Moo Deng merupakan spesies badak air kerdil yang boleh membesar hingga satu per empat saiz atau berat badak air biasa.

Populariti Moo Deng kini melonjak ke semua platform media sosial dengan lebih 2.7 juta pengikut direkodkan di laman TikTok, manakala videonya di Instagram mendapat jutaan tontonan daripada peminat di seluruh dunia.

Namanya juga yang bermaksud ‘khinzir melenting’ dipilih oleh lebih 20,000 pelawat melalui undian dalam talian dan didedahkan pada akhir Ogos.

Sejak Zoo Terbuka Khao Kheow mula menyiarkan tentang Moo Deng di laman Facebook, X dan YouTubenya, pengguna telah menulis komen-komen pujian.

Tidak hanya itu, kedai dan produk kosmetik terkenal, Sephora Thailand juga menjadikan badak air pygmy itu sebagai ikon kecantikan dan berkongsi petua solekan yang diilhamkan oleh Moo Deng dengan slogan Wear your blush like a baby hippo.

Artis juga melukis kartun, kek dan seni latte berdasarkan haiwan tersebut. Imejnya menghiasi meme pasukan bola sepak Jerman FC Bayern; pasukan bola keranjang

Amerika Syarikat (AS), Phoenix Suns dan pasukan bola sepak AS, Washington Commanders serta New York Mets.

Dengan populariti yang dikecapi itu, Chodchoi berkata, mereka telah mula membuat hak cipta dan tanda dagangan ‘Moo Deng the Hippo’ untuk menghalang haiwan itu daripada dikomersialkan oleh orang lain.

“Dengan itu, kami akan mempunyai lebih banyak pendapatan untuk menyokong aktiviti bagi menjadikan kehidupan haiwan lebih baik.

“Ia juga langkah kami untuk mengelak jenama Moo Deng daripada dieksploitasi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang mengaut keuntungan peribadi,” ujarnya.

Tambahnya, bagi membantu membiayai inisiatif penjagaan Moo Deng juga, pihak zoo sedang membuat baju dan seluar Moo Deng yang akan dijual tidak lama lagi, selain lebih banyak cenderahati pada masa akan datang.

Chodchoi percaya faktor kemasyhuran Moo Deng adalah pada namanya yang sepadan dengan personalitinya yang bertenaga dan ‘huru-hara’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN