SETIBANYA di rumah usai pulang kerja, pemuda itu terus menuju ke akuarium untuk melihat ikan peliharaan kesayangan, arowana miliknya.
Kebiasaannya, dengan melihat haiwan itu berenang, segala penat dan stres yang dirasai semasa bekerja bagaikan hilang begitu saja, namun kali ini ikannya itu kelihatan sedikit berbeza.
Tidak seperti selalu yang lincah dan terus menatapnya di sebalik cermin akuarium seperti mengerti tuannya sudah pulang, ikan tersebut kelihatan tidak aktif, malah apabila diberi makan tidak membaham dengan tangkas seperti biasanya.
Menurut pemuda asal Klang, Selangor, Vinarasu Palanisamy, selepas diperhatikan ikan kesayangannya itu, dia menyedari ada sesuatu yang berbeza tentang insangnya yang kelihatan kembang dan mulut lebih panjang di bahagian bawah.
“Saya memang suka dan mempunyai hobi memelihara haiwan peliharaan sejak kecil. Ikan arowana ini adalah antara yang menjadi kesayangan sejak tujuh tahun lalu, tetapi melihat ikan itu tidak lincah seperti selalu membuatkan saya risau akan keadaannya.
“Oleh sebab itu saya cuba berikhtiar untuk merawatnya supaya ikan kembali sihat,” katanya ketika dihubungi K2.
Tambahnya, selepas bertanya kepada rakan-rakan dan melihat di media sosial, pemuda yang bekerja sebagai pemandu lori itu kemudian mendapati ada satu perkhidmatan salon ikan yang menawarkan khidmat perapian (grooming) untuk ikan arowana.
Katanya lagi, dia kemudian mencuba perkhidmatan tersebut dan tidak menyangka banyak perapian yang perlu dilakukan untuk ikan peliharaannya supaya kelihatan cantik dan kemas.
“Selepas grooming, ia kelihatan lebih sihat dan kemas terutama setelah sisik, sirip dan mulutnya dirapikan.
“Malah, saya juga berasa lebih gembira kerana selepas ikan pulih sepenuhnya, setiap pulang kerja saya lihat ia kembali lincah di dalam akuarium,” ujarnya.
Perapian atau dandanan haiwan peliharaan sering dikaitkan dengan haiwan berbulu seperti anjing dan kucing, tetapi ramai yang terlepas pandang bahawa ikan juga memerlukan dandanan untuk mengekalkan kesihatan dan mempercantik fizikalnya.
Kepentingan dandanan ikan secara asas meliputi khidmat penyelenggaraan sirip, penjagaan sisik dan kebersihan tangki secara keseluruhan.
Namun begitu, menurut konsultan dandanan ikan arowana, Wan Muhammad Afendy Wan Daud, 31, selain tiga khidmat asas tersebut, terdapat juga beberapa perapian lain untuk ikan seperti buang lemak mata dan mengikis mulut yang tidak sama panjang.
“Ikan peliharaan sebenarnya boleh dirapikan untuk memastikan ia dapat mengekalkan bentuk fizikal yang menarik dan juga menjaga kesihatannya.
“Namun begitu, tidak semua ikan perlu menjalani perapian, biasanya untuk khidmat ini ia melibatkan ikan seperti arowana, toman, flowerhorn, ikan emas dan beberapa ikan hiasan lain,” ujarnya yang turut membela ikan arowana sejak lima tahun lalu.
Tambahnya, berbeza dengan haiwan berbulu, perapian untuk ikan tidak perlu dilakukan dengan kerap, melainkan ketika perlu sahaja. Bermakna, perapian hanya perlu dilakukan sekiranya terdapat kecacatan yang berlaku dan boleh diperbaiki dengan grooming.
Kongsinya lagi, mengambil contoh ikan arowana, terdapat beberapa kecacatan yang menyebabkan ikan itu perlu dilakukan grooming seperti masalah sisik, sirip, bahagian mulut tidak sama panjang, lemak mata berlebihan atau insang mengembang.
Jelasnya yang belajar merapikan ikan arowana menerusi laman sosial dan video Youtube pada 2019, untuk kecacatan yang berlaku biasanya ia bergantung kepada persekitaran, pemakanan atau genetik.
“Kecacatan boleh berlaku jika ikan tidak dijaga dengan baik, ini bermaksud jika air kotor, ikan terdedah kepada masalah sirip mengembang kerana kesukaran mendapatkan oksigen memaksa ia untuk bernafas dengan lebih keras.
“Bagi pemakanan pula, biasanya ia memberi kesan kepada pengumpulan lemak di soket mata menyebabkan mata ikan membengkak dan penglihatannya mula menghala ke bawah, manakala untuk genetik pula biasanya melibatkan kecacatan fizikal seperti mulut atau sirip tidak rata,” kongsinya yang juga merupakan seorang kakitangan swasta.

Katanya lagi, dalam proses perapian ikan pula terdapat beberapa proses yang perlu dilakukan seorang konsultan bagi memastikan sesi berjalan lancar.
Pertama, ikan perlu berpuasa terlebih dahulu sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam, kemudian konsultan perlu memastikan masalah yang terdapat pada ikan terlebih dahulu sebelum memutuskan jenis perapian yang perlu dilakukan.
Ini merupakan langkah asas kerana ikan yang menjalani proses perapian akan ditidurkan terlebih dahulu dan dikeluarkan ke bekas khas atau stesen kerja.
“Ikan yang hendak dirapikan akan dimasukkan ke dalam plastik berisi air dicampurkan ubat pelali khas dan dibiarkan selama lebih kurang lima minit untuk memastikan ia sudah betul-betul tidur.
“Kemudian kita akan memulakan sesi perapian bergantung kepada keperluan ikan, sebaiknya proses perlu dilakukan dengan kadar segera bagi mengelakkan ikan kembali sedar kerana kesan pelali sudah berakhir,” jelasnya.
Kongsinya lagi, bagi masalah fizikal seperti sirip atau sisik, ia akan dipotong supaya kelihatan kemas dan mengambil masa yang singkat sekitar 30 minit ke satu jam, tetapi untuk mata, insang serta mulut, hal ini perlu dilakukan dengan teliti.
Bagi pembuangan lemak mata, biasanya akan mengambil masa dua jam kerana konsultan perlu berhati-hati supaya tidak merosakkan saraf di kawasan tersebut, manakala mulut pula bahagian yang terlebih panjang akan dikikis sedikit demi sedikit agar mulut kembali kelihatan normal.
Untuk insang pula, rawatan yang diberikan adalah dengan memotong bahagian berlebihan atau mengembang supaya ia kembali seperti bentuk asal.
Dalam proses perapian ikan, fokus, ketelitian dan ketepatan amatlah perlu kerana sebarang kesilapan boleh mengundang risiko ikan mati.
Selepas siap dirapikan, ikan tersebut akan dimasukkan semula ke dalam akuarium dan diberikan buih oksigen untuk membantunya kembali segar.
“Dalam perapian ikan, akan ada luka kecil pada ikan terutama yang melibatkan mata dan mulut, namun begitu arowana mempunyai daya sembuh yang cepat jika dijaga dengan baik.
“Selepas perapian, pemilik perlu memastikan penjagaan dengan betul, berikan makanan seimbang dan bersihkan air dengan kerap supaya ikan terus sihat dan dapat mengekalkan kecantikannya,” ujarnya.














