KUALA LUMPUR – Sehari selepas dilantik sebagai Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) zon Asia Tenggara, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengambil inisiatif untuk mewujudkan Pusat Badminton Prestasi Tinggi Asia yang bertempat di Kuala Lumpur.
Pusat sukan badminton yang dicadangkan beliau kepada Ketua Pengarah OCA, Husain Al-Musallam pada Mei tahun lalu akhirnya dapat direalisasikan dan ia bakal memberi manfaat kepada sukan raket itu di rantau ini.
Inisiatif itu akan dijalankan menerusi kerjasama yang melibatkan OCA dan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) negara masing-masing serta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara OCA dan NOC Malaysia.
MoU tersebut ditandatangani Presiden baharu OCA, Raja Randhir Singh dan Norza yang mewakili NOC Malaysia pada Perhimpunan Agung OCA ke-44 di New Delhi, India semalam.
“Sebagai bekas Presiden BAM dan juga Presiden Kehormat Badminton Asia, saya rasa amat berbangga untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Naib Presiden OCA Asia Tenggara dan menyumbang kepada pembangunan sukan badminton.
“Saya mengucapkan sepenuh penghargaan kepada Presiden OCA yang baharu, Raja Randhir Singh atas kepimpinan dan visi beliau. Dedikasi beliau terhadap Pergerakan Olimpik dan pembangunan sukan di rantau Asia sangat memberi inspirasi,” kata Norza.
Semalam, Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) secara rasmi dilantik sebagai Naib Presiden OCA zon Asia Tenggara baharu selepas menang tanpa dicabar mana-mana calon lain.
Sebagai rekod, Pusat Badminton Prestasi Tinggi Asia itu akan memainkan peranan bagi membangunkan sukan tersebut dengan menyediakan fasiliti latihan berkelas dunia di Malaysia kepada NOC yang sedang membangun.
Antara fokus pembentukan pusat badminton itu adalah dengan memberikan latihan prestasi tinggi kepada pemain-pemain selain sebagai peluang pembangunan untuk jurulatih dan umpire, selari dengan Program Pembangunan OCA.
“Saya berterima kasih kepada Husain Al-Musallam kerana memberi sokongan tidak berbelah bahagi untuk penubuhan Pusat Badminton Prestasi Tinggi ini. Terima kasih juga kepada pemangku Presiden BAM, Datuk S. Subramaniam yang memberikan nasihat teknikal,” ujar Norza. – KOSMO! ONLINE