PONTIAN – Misteri kehilangan seorang pemandu lori siput, Muhammad Sufian Mok Parin yang hilang sejak 20 Jun lalu hampir terjawab apabila bapanya dapat menghubungi talian telefon milik lelaki itu.
Malah bapanya, Mok Parin Miswan, 70, terkejut apabila panggilan itu dijawab seorang kanak-kanak yang memaklumkan ‘pak cik’ iaitu Muhammad Sufian, 39, tiada di rumah kerana keluar pergi bekerja.
Katanya, apabila ditanya ‘pak cik’ pergi kerja menunggang motosikal berwarna biru, kanak-kanak itu memberikan jawapan betul dan memberitahu ‘pak cik’ bekerja membawa lori tong gas memasak.
“Semasa pergi kerja pada 20 Jun lalu, anak saya menunggang motosikal biru dan jawapan kanak-kanak itu seperti menepati ramalan anak saya masih hidup,” katanya di rumahnya di Kampung Sungai Boh, di sini semalam.
Tambah Mok Parin, seorang anak saudaranya yang juga pengamal perubatan tradisional di Muar memberitahu, Sufian masih hidup, tetapi bukan disimpan orang bunian atau hantu.
“Sufian kini dalam jagaan seseorang (manusia), namun tidak dapat pulang kerana ada sesuatu yang menahannya untuk pulang ke pangkuan keluarga,” ujarnya.
Ibunya, Zaharah Bedu, 66, pula menaruh harapan agar anaknya dapat pulang suatu hari nanti, walaupun dia kini seolah-olah sudah melupakan ibu bapa dan adik beradiknya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang kakak merayu supaya adiknya yang berkerja sebagai pemandu lori simen di sebuah pelabuhan supaya pulang ke pangkuan keluarga selepas menghilangkan diri pada 20 Jun lalu.
Berita berkaitan: Ada perempuan ‘jaga’ Sufian














