RAUB – Hampir 50 baka baharu Durian Premium Kampung (DPK) di Raub, Lipis dan Jerantut mula mendapat perhatian penggemar raja buah sejak beberapa musim lalu.
Beberapa baka baharu DPK pernah dinobatkan sebagai johan peringkat daerah juga sudah didaftarkan di bawah selenggaraan Jabatan Pertanian untuk memperoleh benih, kawalan mutu serta peluang pasaran bagi menambah pendapatan para pekebun berkenaan.
Pemilik kebun di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong di sini, Mokhter Mohamad, 75, berkata, dia yang pada mulanya menanam pokok durian secara suka-suka sejak 40 tahun lalu tidak menyangka durian ditanamnya dikenali sebagai durian kop besar mendapat perhatian penggemar raja buah.
“Saya tidak menyangka durian kop besar mendapat perhatian orang luar. Sebelum ini ia cuma dikenali di sekitar kampung ini kerana keenakan isi dan aromanya menarik selera sesiapa sahaja untuk menikmati isinya.
“Beberapa tahun lalu ketika mengeluarkan hasil, buahnya tidak lebat seperti dua musim lalu kemungkinan kerana cuaca panas dan kurang penjagaan seperti membubuh baja.
“Namun, pokok ini tetap berbuah dan ketika gugur dikutip untuk dimakan ahli keluarga sahaja di samping jiran terdekat,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, sejak tiga musim lalu, buah durian kop besar mula mendapat perhatian dan ramai penggemar durian memberitahu keenakan isinya di samping mempunyai antara satu hingga dua ulas yang besar dalam satu pangsa.
Katanya, ketika ini cuma ada dua batang pokok durian kop besar yang berbuah setiap musim dengan dianggarkan mempunyai kira-kira 500 biji kali ini.
Katanya setiap buah kop besar dengan berat antara empat hingga lima kilogram itu pada mulanya dijual RM12 sekilogram kini meningkat kepada RM20 sekilogram.
“Buahnya agak besar mengandungi isi lembut, manakala rasanya lemak dan sedikit pahit serta warna kekuningan yang menarik perhatian penggemar untuk menikmatinya.
“Penduduk kampung ini memberitahu durian ini sedap dan boleh dikomersialkan dan setelah menjadi buah mulut orang ramai, para peraih mula datang setiap musim antara sebab buah durian kampung dikenali agak cepat,” tambahnya.














