JIKA hendak berkawan, jangan sentuh pasal bangsa dan agama.
Itu pesanan orang tua saya walaupun tidak pernah lekat pun dalam kepala kerana tiga serangkai sekelas di Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan 10 (Road 10), Petaling Jaya memang sudah lengkap pun – saya, James Heng Aik San dan Saravanan.
Semasa di sekolah rendah dari tahun 1977 hingga 1982, pelajarnya bercampur bergaul semua kaum. Kami ada David Meow yang gemar bawa alat video yang jika diteropong di dalamnya terpancar wayang pendek disney.
Dia tak kedekut berkongsi mainan itu dengan saya di Darjah 6 Merah. Kelas kami juga ada Suresh setinggi 5 kaki 6 inci yang ‘sedia bertugas’ setiap kali papan hitam sarat bertulisan kapur bila Cikgu Bahasa Melayu, Cik Yati keluar kelas berganti Cikgu bahasa Inggeris, Mrs. Tan.
Sonny Yow pula yang agak berisi tinggal di belakang Institut Kemahiran Mara PJ waktu itu (kini bangunan itu lenyap sudah) suka berkongsi Coca Cola botol dengan Leman, Khirwadi dan Wak (panggilan mesra kawan-kawan).
Ada tiga straw disediakan Sonny dan dipastikan tiga orang itu sedut dulu sebaik sahaja dibuka penutup botol. Guru-guru di Road Ten memang lengkap pakej kaumnya – ada Cikgu Suppaya, Mrs. Yip, Mr. Pang, Cikgu Subra dan Cikgu Rashid.
Pernah ditanyakan pada Sonny, apasal dia tak sedut dulu. Kata Sonny, dia takut `tak halal’ nanti. Kami hanya ketawa kosong, `ya, ya, ya’.
Masa beredar naik pula ke tingkatan satu 1983 di Sekolah Menengah Seaport, Kelana Jaya. Lagi lengkap semua kaum ada di situ. Melisa Ho, Puspawathi, Seelan, Chin Mun, Hasmynor, Hafizal, Sabbaruddin. Kami ambil tahu sesama antara satu sama lain.
Suasana di sekolah kebangsaan hari ini ada hinggapkah kenangan terindah semua ini?
Hakikatnya di sekolah rendahlah segala titik mulanya untuk mengukuhkan perpaduan semua kaum. Kalaulah kerajaan mewajibkan rakyat Malaysia mengikuti pendidikan enam tahun pertama di sekolah kebangsaan dengan dipraktikkan tanpa ada soal jawab, pastinya akan berdikit-dikit jurang antara kaum dikecilkan.
Sekolah kebangsaan sangat penting kerana di situlah pendedahan awal kepada kanak-kanak untuk hidup dalam persekitaran sosial dengan kaum lain. Penyata Razak 1956 umpamanya secara tegas lagi jelas mencadangkan supaya diadakan sekolah satu aliran yang terbuka kepada semua kaum.
Tetapi ini tidak dipedulikan dan tersimpanlah Penyata Razak diam-diam di Arkib Negara. Sekolah vernakular berkembang dan pemimpin terus berkokok tentang perpaduan. Anak-anak kita pula terus terpisah daripada rakan sebaya kaum lain.
Yang Melayu pergi ke sekolah kebangsaan, kanak-kanak Cina pergi ke sekolah aliran Cina dan India ke sekolah aliran India.
Memang ada kanak-kanak Cina dan India dihantar ke sekolah kebangsaan. Tetapi pertumbuhan sekolah vernakular, apa lagi diberi peruntukan kewangan seolah-olah sekolah kebangsaan memberikan `isyarat yang membimbangkan’.
Kita risau dalam tahun-tahun mendatang ini tanggapan lagi serong seolah-olah sekolah kebangsaan adalah ‘sekolah Melayu’ tidak pernah cuba diperbetulkan dengan bersungguh-sungguh.
Ini satu tanggapan yang salah sama sekali. Hakikatnya sekolah kebangsaan untuk semua; Melayu, Cina, India dan etnik di Sabah dan Sarawak. Orang Melayu tidak ada sekolah khasnya.
Sekolah adalah institusi sosial yang paling awal selepas institusi keluarga untuk membentuk peribadi seseorang warga. Sekolahlah tempatnya untuk mereka menyerap kepelbagaian dalam kebersatuan.
Bagaimanapun hal ini sama sekali tidak menghalang mereka mengamalkan bahasa dan budaya asal dengan syarat bukan untuk dalam situasi rasmi.
Melakukan sesuatu untuk kepentingan negara menuntut keberanian dan kesungguhan yang tinggi melampaui kepentingan politik kaum. Perpaduan, keamanan dan persefahaman antara kaum tidak datang tanpa pengorbanan daripada pihak tertentu.
Anak-anak bagaikan kain putih. Tiada isu perkauman antara mereka. Waktu itu umur yang ada hanyalah kemanusiaan yang lahir daripada fitrah keinsanan.
Kasih sayang suatu peninggalan. Biar ia bersinar dalam diri kita, mencari kita.
Sempena Hari Kebangsaan ke-67 dan menyusul sambutan Hari Malaysia 16 September nanti agaknya elok dinilai perkembangan naik turun potensi dan prestasi sekolah-sekolah kebangsaan.
Ah! berulang lagikah kenangan kemesraan kaum di SRK Road Ten dan SM Seaport?














