fbpx
TABIAT mencuba gincu di kedai kosmetik boleh menyebabkan seseorang itu dijangkiti penyakit herpes. – NURUL NAJWA HASRAN

Gincu tester penyebab herpes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ramai golongan wanita tidak mengetahui bahawa mereka terdedah kepada bahaya jangkitan herpes hanya kerana mencuba gincu dan pelembab bibir yang dipamerkan di rak-rak kedai kosmetik.

Risiko berlaku apabila produk ‘tester’ yang dipamerkan itu mungkin mempunyai jangkitan virus dan boleh menjadi ‘pembawa’ kepada penyakit herpes.

Penyakit herpes terbahagi kepada dua jenis iaitu HSV-1 yang lebih dikaitkan dengan jangkitan pada mulut dan bibir, manakala HSV-2 pula melibatkan jangkitan pada alat kelamin.

Mendedahkan perkara ini, Pengamal Perubatan Am, Seksual dan Reproduktif, Dr. Ahmad Ramdan Zainordin berkata, apabila individu dijangkiti HSV-1, ia boleh menjangkiti bahagian kulit lain termasuk kemaluan dan bertukar menjadi herpes HSV-2.

Jelasnya, penyakit ini terjadi apabila seseorang itu melakukan seks oral dan geselen, sekali gus membawa kepada jangkitan kelamin meskipun tanpa aktiviti seks melibatkan penetrasi.

“Sentuhan langsung dari mulut ke mulut seperti berciuman menjadi punca jangkitan berlaku.

“Selain itu, berkongsi sebarang jenis peralatan yang menyentuhi ruam atau air liur juga boleh menyebabkan seseorang dijangkiti herpes. Ini termasuklah peralatan seperti gincu, lip balm dan berus gigi.

“Malah, penggunaan peralatan seks seperti dildo turut dikaitkan sebagai punca penyakit herpes di alat kelamin,” katanya kepada Kosmo!.

Ahmad Ramdan yang juga Pengarah Arz Healthcare Sdn. Bhd. berkata, lebih membimbangkan individu yang dijangkiti penyakit herpes ini tidak bergejala tetapi boleh menjangkiti orang lain.

Hal ini kerana katanya, virus herpes akan ‘bersembunyi’ di dalam saraf dan muncul sebagai serangan ruam yang pedih, luka ulser di dalam mulut dan alat ke­lamin, kencing pedih dan keputihan dari faraj.

“Jangkitan herpes bagi wanita lebih berisiko sekiranya hamil kerana bayi yang dilahirkan boleh dijangkiti herpes (neonatal herpes). Herpes juga boleh me­ngakibatkan keradangan selaput otak (meningitis) terutama bagi penghidap yang lemah imuniti badan.

“Bahayanya herpes ini juga kerana ia meningkatkan risiko penghidapnya untuk dijangkiti HIV sehingga empat kali ganda, terutamanya yang melibatkan herpes di alat kelamin,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun kata beliau, gejala herpes boleh dirawat de­ngan pengambilan ubat antiviral, namun ia tidak boleh disembuhkan kerana antiviral hanya untuk mengurangkan aktiviti virus tetapi tidak dapat melupuskannya sepenuhnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Ramdan berkata, sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 108 kes herpes telah dikesan di kliniknya yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail.

Daripada jumlah itu, seramai 38 individu telah menerima ra­watan, selebihnya tiada gejala.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi peralatan-peralatan yang menyentuhi kulit dan anggota badan secara langsung se­perti gincu, berus gigi, botol minuman dan alat kosmetik lain.

“Jalani ujian penyakit kelamin (STI) sekiranya berisiko tinggi untuk dijangkiti dan bergejala,” nasihatnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN