PETALING JAYA – Faktor geologi selain sistem saliran yang terlalu usang meletakkan Kuala Lumpur dalam risiko dilanda kejadian mendapan tanah.
Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nor Shahidah Mohd. Nazer berkata, situasi berlaku apabila struktur tanah yang tidak stabil mempunyai kecenderungan untuk berlakunya mendapan, sekali gus boleh mengancam keselamatan pengguna.
Katanya, berdasarkan peta geologi yang dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) jelas menunjukkan bahawa sebahagian besar ibu negara merupakan kawasan batu kapur.
“Sebahagian kawasan di Kuala Lumpur adalah kawasan pertemuan antara batu kapur dengan batuan lain. Jadi batu kapur ini ada kecenderungan untuk melarut dalam air.
“Bila kawasan sebegini membentuk rongga atau kaviti, maka tanah di bahagian atas akan turun atau mendap,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Mengulas lanjut, Dr. Nor Shahidah berkata, dari segi perbandaran, kejadian mendapan tanah ini juga perlu dilihat dalam konteks penyelenggaran paip dan sistem saliran sedia ada.
Katanya, sekiranya ia bukan berada di kawasan berisiko seperti batu kapur, lazimnya, isu paip pecah merupakan faktor utama kepada berlakunya mendapan tanah.
“Kita boleh lihat projek-projek dahulu, memang banyak berlaku ‘sinkhole’. Risiko itu ada kerana kita mempunyai sistem perparitan lama selain kawasan itu juga secara dasarnya menerima limpahan hujan yang tinggi.
“Kita tahu bila bandar itu sudah dibangunkan sekian lama, ada paip yang usang dan dikhuatiri bocor menyebabkan hakisan berlaku secara perlahan lalu membentuk satu rongga yang besar yang boleh menyebabkan tanah runtuh atau mendap,” jelasnya.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu bertanggungjawab sekiranya perkara sedemikian berlaku ke atas mana-mana pihak.
“PBT harus bertanggungjawab dengan apa yang berlaku di kawasan mereka. Namun, saya tak nafikan memang sukar untuk kita kenal pasti kerana ia berlaku di dalam tanah.
“Tanpa imbasan awal pada kawasan tersebut, kita tidak nampak apa yang berlaku, cuma indikasi perkara itu pasti akan muncul seperti retakan atau penurunan bahagian permukaan secara membulat,” jelasnya.
Katanya, PBT tidak sepatutnya terlepas pandang kerana ia bukanlah isu baharu selain perlu menjalankan pemantauan berkala kepada potensi pemendapan di kawasan berisiko.
“Jika ada kawasan yang menunjukkan rekahan atau penurunan, mereka boleh segera melihat sama ada tanah di bawah sudah lopong dan apa mitigasi yang perlu dibuat,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan seorang pelancong wanita tertimbus di dalam lubang sedalam kira-kira lapan meter dalam kejadian lubang jerlus berdekatan Masjid India.
Kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu melibatkan mangsa yang berasal dari India. -KOSMO! ONLINE
















